Terkini
Pandangan tidak mengapa enakmen syariah dibatalkan membimbangkan — Peguam
Seorang pengamal undang-undang meluahkan kebimbangan dengan pandangan kononnya tidak mengapa enakmen syariah di negeri dibatalkan kerana masih ada kesalahan sama di perundangan Persekutuan.
- Kebimbangan itu disuarakan peguam, Aidil Khalid yang merujuk kes Iki Putra melibatkan lelaki Muslim yang didakwa di bawah perundangan jenayah syariah liwat, di mana pada 2021 pertuduhan ke atas lelaki itu di bawah jenayah syariah dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
- “Tapi setelah lepas dari pertuduhan syariah negeri, sampai hari ini, di tahun 2024, iaitu kira-kira 3 tahun kemudian, kita masih belum mendengar Iki Putra dituduh semula di bawah mana-mana perundangan Persekutuan.
- “Ini yang menjadi masalah dan ini kita risaukan. Bagi meredakan keadaan, dijaja dakyah kononnya masih ada perundangan jenayah sivil di peringkat persekutuan yang lebih berat hukumannya bagi kesalahan-kesalahan tersebut.Tapi persoalannya, sejauh manakah ia akan dikuatkuasakan oleh Persekutuan?,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
- Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu, yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
KUALA LUMPUR — Seorang pengamal undang-undang meluahkan kebimbangan dengan pandangan kononnya tidak mengapa enakmen syariah di negeri dibatalkan kerana masih ada kesalahan sama di perundangan Persekutuan.
Kebimbangan itu disuarakan peguam, Aidil Khalid yang merujuk kes Iki Putra melibatkan lelaki Muslim yang didakwa di bawah perundangan jenayah syariah liwat, di mana pada 2021 pertuduhan ke atas lelaki itu di bawah jenayah syariah dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana mahkamah berpendapat ia adalah sepatutnya di bawah bidang kuasa Persekutuan dan bukan negeri.
“Tapi setelah lepas dari pertuduhan syariah negeri, sampai hari ini, di tahun 2024, iaitu kira-kira 3 tahun kemudian, kita masih belum mendengar Iki Putra dituduh semula di bawah mana-mana perundangan Persekutuan.
“Dan kita juga tidak mendengar sebarang penjelasan PDRM mahupun Jabatan Peguam Negara, apakah status siasatan dan pendakwaan bagi kes itu.
“Ini yang menjadi masalah dan ini yang kita risaukan. Bagi meredakan keadaan, dijaja dakyah kononnya masih ada perundangan jenayah sivil di peringkat persekutuan yang lebih berat hukumannya bagi kesalahan-kesalahan tersebut.
“Tapi persoalannya, sejauh manakah ia akan dikuatkuasakan oleh Persekutuan?,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu, yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Aidil berkata semua permasalahan yang membimbangkan beliau itu belum lagi termasuk usaha-usaha untuk menyah-jenayahkan kesalahan-kesalahan moral LGBTQ di peringkat Persekutuan.
Katanya, gerakan itu sememangnya wujud dan sudah lama dimulakan, walaupun mungkin bukan oleh peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, namun ia tetap wujud dan merupakan kerisauan yang valid.
“Jalan ke hadapan, kita harap ahli-ahli parlimen dapat duduk dan capai kata sepakat: jika perlu pinda perlembagaan, maka pindalah Perlembagaan, bagi memperjelas dan memperkukuh kuasa gubalan syariah di peringkat negeri. Ketepikan pertikaian politik, dan bersatulah demi memperkukuh kuasa gubalan syariah.
“Jangan tunggang agama. Tapi bagi pihak yang lagi satu pula, jangan sesekali perlekehkan kerisauan besar umat Islam di Malaysia,” kata Aidil. — The Merdeka Times