Connect with us

Terkini

Tabung Haji perkasa tadbir urus berasas maqasid syariah

Sejak awal penubuhannya, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memainkan peranan sangat penting sebagai institusi pengurusan simpanan patuh syariah dan ibadat haji rakyat Malaysia.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tabung haji
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sejak awal penubuhannya, Lembaga Tabung Haji (TH) memainkan peranan sangat penting sebagai institusi pengurusan simpanan patuh syariah dan ibadat haji rakyat Malaysia.
  • Pengurus Besar Syariah TH Imran Mohammad Khayat berkata antara inisiatif yang dilaksanakan TH untuk memperkasa tadbir urus syariahnya adalah pelancaran Rangka Kerja Pengawasan TH (RKP) pada September 2021 sebagai asas kawalan tadbir urus dalam memastikan ia dapat menunaikan mandat pengurusan haji bertaraf dunia dengan lebih berkesan dan lestari.
  • Imran berkata TH juga sedang mengemas kini Akta Lembaga Tabung Haji (Akta 535) bagi memperkasakan lagi tadbir urus secara keseluruhannya termasuk tadbir syariahnya.

KUALA LUMPUR — Sejak awal penubuhannya, Lembaga Tabung Haji (TH) telah memainkan peranan sangat penting sebagai institusi pengurusan simpanan patuh syariah dan ibadat haji rakyat Malaysia.

Justeru, TH perlu sentiasa efisien dan terkehadapan dalam memperkasa kedudukannya sebagai sebuah agensi disegani sehingga ke peringkat antarabangsa.

Pengurus Besar Syariah TH Imran Mohammad Khayat berkata antara inisiatif yang telah dilaksanakan TH untuk memperkasa tadbir urus syariahnya adalah pelancaran Rangka Kerja Pengawasan TH (RKP) pada September 2021 sebagai asas kawalan tadbir urus dalam memastikan ia dapat menunaikan mandat pengurusan haji bertaraf dunia dengan lebih berkesan dan lestari.

“Sebagai sebuah institusi Islam yang disegani di mata dunia, setiap warga TH sama ada di peringkat tertinggi mahupun rendah perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam memastikan apa juga peraturan seperti kod etika, cara kerja termasuk RKP diperkukuhkan,” katanya.

Selain itu, Imran berkata TH juga sedang mengemas kini Akta Lembaga Tabung Haji (Akta 535) bagi memperkasakan lagi tadbir urus secara keseluruhannya termasuk tadbir syariahnya.

“Akta sedia ada sudah pun berusia hampir 30 tahun iaitu sejak 1995 dan tidak pernah diperbaharui. Jadi sebagai salah satu usaha untuk memperkemaskan aspek tadbir urus termasuk tadbir urus syariah adalah dengan pindaan Akta 535,” katanya.

Sementara itu, Imran berkata ketika TH berusaha memperkukuhkan kedudukannya selaku institusi berlandaskan syariah disegani, ia tidak terlepas daripada berhadapan dengan salah tanggapan rakyat mengenai peranan institusi itu sebagai agensi pengurusan haji negara ini.

“Sebahagian masyarakat beranggapan apabila sebuah institusi itu berlandaskan Islam, maka seolah-olahnya ia mestilah berbentuk badan kebajikan. Dalam konteks bantuan kewangan haji yang saban tahun diberikan oleh TH, mandat TH adalah menjalankan operasi haji dan juga pengurusan dana ataupun pelaburan, tidak termaktub mandat memberikan bantuan kewangan kepada bakal jemaah haji untuk mereka menunaikan haji.

“Bantuan haji sebenarnya hanya inisiatif TH dan juga kerajaan berdasarkan kepada budi bicara. Ia tidak pernah menjadi hak para jemaah,” katanya.

Disebabkan itu katanya TH saban tahun mengambil inisiatif untuk menerangkan mengenai konsep istitha’ah yang bermaksud kemampuan untuk menunaikan haji sebagai satu syarat wajib menunaikan haji.

“Apabila seseorang ingin menunaikan haji, perkara yang paling penting dan utama adalah kemampuan jemaah itu sendiri sebagaimana termaktub di dalam al-Quran. Bantuan haji hanyalah merupakan inisiatif TH berdasarkan kepada budi bicara bersesuaian dengan kedudukan kewangan TH,” katanya.

Menjelas lanjut Imran berkata TH bertanggungjawab menjaga kemaslahatan keseluruhan hampir sembilan juta pendepositnya termasuk 31,600 jemaah haji setiap tahun.

Dari segi Maqasid Syariah, Imran berkata TH melihat maslahah yang paling utama ialah memelihara kelestarian institusi itu kerana dengan saiz dana yang besar iaitu hampir mencecah RM90 bilion, ia tidak boleh gagal atau runtuh.

Justeru, beliau berkata tiga perkara menjadi pertimbangan pengurusan TH dari sudut maslahah dan maqasid penjagaan harta iaitu yang pertama, kelestarian TH itu sendiri sebagai entiti pengurusan dana yang besar.

“Kedua, maslahah umum keseluruhan pendeposit berbanding sebilangan kecil bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji pada tahun tertentu dan yang ketiga aspek istitha’ah yang menjadi syarat wajib haji itu sendiri,” katanya.

Jelasnya pengurusan TH perlu menentukan secara cermat dan berhemah sejauh mana kemampuan institusi berkenaan untuk menampung perbelanjaan kos langsung mengerjakan haji bagi setiap jemaah dan dalam masa sama, memberi pulangan kompetitif kepada para pendeposit.

Imran berkata kos untuk menunaikan haji bagi seorang jemaah pada tahun ini mencecah hampir RM31,000 dengan TH menanggung 60 peratus daripada jumlah tersebut bagi setiap jemaah kumpulan B40.

“Dengan kesedaran bahawa kos menunaikan haji saban tahun meningkat dan ada sebahagian golongan yang mungkin perlu dibantu, maka sebarang bentuk bantuan yang hendak disalurkan perlulah bersasar,” katanya. — BERNAMA

Sumber: Bernama

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *