Connect with us

Terkini

Seks bebas, pemakaian ikut ‘trend’ antara punca 4,000 remaja hamil setiap tahun

Anggaran statistik Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa secara purata 4,000 remaja perempuan bawah usia 18 tahun negara ini, hamil setiap tahun, adalah sesuatu senario yang membimbangkan kerana kebanyakannya disebabkan aktiviti seks bebas.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Seks bebas, pemakaian ikut ‘trend’ antara punca 4,000 remaja hamil setiap tahun
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Anggaran statistik Kementerian Kesihatan (KKM), secara purata 4,000 remaja perempuan bawah usia 18 tahun, hamil setiap tahun, adalah sesuatu senario yang membimbangkan kerana kebanyakannya disebabkan aktiviti seks bebas.
  • Kehamilan remaja berlaku apabila kurangnya pendidikan seksual, disebabkan mereka tidak mengetahui kemungkinan mengandung sekiranya aktif seksual dengan teman lelaki.
  • Mereka juga terdedah risiko penyakit seksual termasuk jangkitan kelamin atau STD serta kurang kesedaran akses kepada alat merancang kehamilan disebabkan masih mentah.
  • Pensyarah Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Engku Husna Engku Ismail berkata, kehamilan remaja itu berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti perkahwinan bawah umur atau kebanyakannya disebabkan aktiviti seksual bebas dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
  • “Antara faktor lain yang turut menjadi punca berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja ialah aspek sosioekonomi yang membabitkan kemiskinan, keluarga berpecah-belah, keganasan rumah tangga, penderaan mental, fizikal, seksual dari keluarga dan rakan,” katanya.

KOTA BHARU: Anggaran statistik Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa secara purata 4,000 remaja perempuan bawah usia 18 tahun negara ini, hamil setiap tahun, adalah sesuatu senario yang membimbangkan kerana kebanyakannya disebabkan aktiviti seks bebas.

Kehamilan remaja berlaku apabila kurangnya pendidikan seksual, disebabkan mereka tidak mengetahui kemungkinan akan mengandung sekiranya aktif seksual dengan teman lelaki.

Pada masa sama, mereka juga terdedah kepada risiko penyakit seksual termasuk jangkitan kelamin atau STD serta kurang kesedaran akses kepada alat merancang kehamilan disebabkan mereka masih mentah.

Pensyarah Obstetrik dan Ginekologi, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Engku Husna Engku Ismail berkata, kehamilan remaja itu berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti perkahwinan bawah umur atau kebanyakannya disebabkan aktiviti seksual bebas dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Katanya, selain itu, faktor sosial dan budaya iaitu pengaruh rakan sebaya, media sosial yang bebas, pornografi dan pemakaian yang menjolok mata atau mengikut ‘trend’, kurang komunikasi dan sokongan keluarga terbuka termasuk pendidikan kesihatan seksual, penjagaan diri dan maruah juga antara penyebab berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja.

“Antara faktor lain yang turut menjadi punca berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja ialah aspek sosioekonomi yang membabitkan kemiskinan, keluarga berpecah-belah, keganasan rumah tangga, penderaan mental, fizikal, seksual dari keluarga dan rakan.

“Kehamilan remaja berisiko mencetuskan komplikasi mengandung ialah kekurangan darah (anemia), perkembangan bayi terbantut semasa dalam kandungan, cacat, darah tinggi, kemurungan ibu, kelahiran pramatang, kelahiran yang sukar, bayi lemas, tumpah darah, jangkitan kuman dan kematian ibu.

“Bayi yang dilahirkan juga berpotensi mengalami kurang berat badan, lemas sewaktu kelahiran sehingga boleh mengakibatkan kematian serta tidak akan disayangi seperti kanak-kanak lain semasa proses tumbesaran di atas pelbagai faktor,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Dr Engku Husna berkata, berdasarkan kajian penduduk dan keluarga Malaysia yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2015, mendapati pengetahuan mengenai aspek seksualiti dan kesihatan reproduktif masih rendah dalam kalangan remaja di Malaysia.

“Justeru aspek pencegahan sangat penting untuk mengelak kehamilan yang tidak dirancang atau jauhi seks bebas sebelum alam perkahwinan dengan menjaga maruah diri seeloknya,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan masalah kesihatan remaja ketika hamil, mereka perlu membuat pemeriksaan awal kandungan, perawatan kesihatan serta mendapat sokongan moral yang cukup sepanjang dan selepas kehamilan.

“Komunikasi terbuka dalam keluarga, sokongan moral untuk penjagaan bayi selepas kelahiran secara terperinci adalah penting sebagai pendokong remaja berkenaan meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Ibu bapa juga dinasihatkan supaya mengawasi tingkah laku anak-anak dan peka dengan persekitaran serta pergaulan mereka terutama apabila terdapat perubahan tingkah laku kerana mencegah kehamilan adalah lebih baik daripada merawat kehamilan yang tidak dirancang atau dijangka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *