Terkini
Bocor draf penghakiman, cubaan jahat ganggu pelaksanaan keadilan – Ketua Hakim Negara
Transformasi prosiding mahkamah secara fizikal kepada maya didakwa mendedahkan badan kehakiman kepada pelbagai cabaran.
- Transformasi prosiding mahkamah secara fizikal kepada maya didakwa mendedahkan badan kehakiman kepada pelbagai cabaran.
- Menurut Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, badan kehakiman menjadi sasaran beberapa pihak dalam mencapai objektif niat jahat mereka.
- “Draf penghakiman yang bocor membabitkan dua kes berprofil tinggi yang didengar di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi tidak lain tidak bukan adalah usaha untuk mengganggu operasi kehakiman dan pelaksanaan keadilan.”
- “Keselamatan siber adalah satu keutamaan. Data perundangan yang sensitif, keterangan saksi sehingga perincian kes perlu dilindungi. Sebagaimana sesebuah dewan mahkamah perlu dikunci dan dikawal, mahkamah digital juga perlu dinding penahan (firewall) dan penyulitan (encryption) untuk menjaga integriti prosiding.”
- “Sehubungan itu, Badan Kehakiman negara akan terus meningkatkan kadar keselamatan siber mereka dalam usaha berterusan menjaga kerahsiaan dan integriti proses kehakiman,” katanya.
KUALA LUMPUR: Transformasi prosiding mahkamah secara fizikal kepada maya didakwa mendedahkan badan kehakiman kepada pelbagai cabaran.
Menurut Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, badan kehakiman menjadi sasaran beberapa pihak dalam mencapai objektif niat jahat mereka.
“Draf penghakiman yang bocor membabitkan dua kes berprofil tinggi yang didengar di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi tidak lain tidak bukan adalah usaha untuk mengganggu operasi kehakiman dan pelaksanaan keadilan.
“Keselamatan siber adalah satu keutamaan. Data perundangan yang sensitif, keterangan saksi sehingga perincian kes perlu dilindungi. Sebagaimana sesebuah dewan mahkamah perlu dikunci dan dikawal, mahkamah digital juga perlu dinding penahan (firewall) dan penyulitan (encryption) untuk menjaga integriti prosiding.
“Sehubungan itu, Badan Kehakiman negara akan terus meningkatkan kadar keselamatan siber mereka dalam usaha berterusan menjaga kerahsiaan dan integriti proses kehakiman,” katanya.
Dua draf penghakiman yang sebelum ini bocor adalah penghakiman membabitkan rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan keputusan akhir pembelaan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.
Tengku Maimun berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 (IMLC2023) di ibu negara di sini semalam.
Majlis pembukaan tersebut turut dihadiri Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan isteri, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan ucaptama pada majlis berkenaan dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Persidangan yang bertemakan ‘Menjelajah Masa Hadapan Kehakiman dengan Teknologi’ yang diadakan selepas empat tahun akan berlangsung selama empat hari bermula semalam.
Selain itu, Tengku Maimun dalam ucapannya menyatakan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk membantu dalam menjatuhkan hukuman adalah untuk menambah dan bukannya menggantikan peranan seseorang hakim.
“Penggunaan teknologi dalam sistem kehakiman akan memberikan potensi yang besar kerana Mahkamah perlu menghayati kemunculan teknologi baharu. Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa adalah penting untuk mengimbangi semangat dalam menggunakan teknologi baru dengan pengetahuan dalam mengendalikan pelbagai jenis kes.
“Setiap kes bukan sahaja berbeza dari segi tahap kesukaran tetapi juga isu. Setiap kes berbeza memerlukan tahap fleksibiliti yang berbeza yang perlu disesuaikan walaupun dengan suasana lengkap dengan teknologi terkini.
“Ini bermaksud transformasi daripada tradisional kepada digital perlu diimbangi dengan teliti dan dilaksanakan dalam kadar yang memberikan kesenangan kepada pihak-pihak terlibat.
“Ia membabitkan usaha mengharmonikan yang lama dengan yang baru dan antara manusia dengan digital bagi memastikan keadilan boleh dicapai dan bermakna dalam dunia digital,” kata Tengku Maimun.
Tambah Tengku Maimun, Majlis Peguam juga perlu mengambil inisiatif dalam mendidik masyarakat dalam memahami penghakiman yang dibuat oleh para hakim.
Ini kerana dalam dunia digital, bukan sahaja penghakiman para hakim dikritik, malah, kehidupan peribadi juga tidak lekang daripada dikritik masyarakat.
Sumber: Utusan Malaysia