Terkini
Penggunaan bin/binti penting untuk menegaskan nasab individu – Mufti Pulau Pinang
Perkataan bin atau binti pada sijil lahir dan kad pengenalan bertujuan menegaskan hubungan nasab (keturunan) yang sah antara anak dengan bapa kandungnya.
- Perkataan bin/binti pada sijil lahir dan kad pengenalan bertujuan menegaskan hubungan nasab (keturunan) yang sah antara anak dengan bapa kandungnya.
- Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata hubungan nasab antara anak dan bapa adalah tradisi yang wujud dalam semua bangsa di dunia sejak zaman dulu.
- Ia lebih diperlukan bagi bangsa yang tidak mempunyai nama keluarga seperti individu berbangsa Melayu.
- “Setakat ini saya tidak nampak ada keperluan untuk dihapuskan ‘bin’ atau ‘binti’ daripada sijil kelahiran atau kad pengenalan bagi masyarakat Islam di Malaysia. Bagi saya, ini hanya merupakan pseudo problem sahaja, bukan problem yang sebenar,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini pada Rabu.
KUALA LUMPUR — Perkataan bin atau binti pada sijil lahir dan kad pengenalan bertujuan menegaskan hubungan nasab (keturunan) yang sah antara anak dengan bapa kandungnya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata hubungan nasab antara anak dan bapa adalah tradisi yang wujud dalam semua bangsa di dunia sejak zaman dulu.
Beliau berkata ia juga merupakan satu nikmat besar untuk pernyataan identiti seseorang.
Katanya, kedua-dua perkataan itu juga lebih diperlukan bagi bangsa yang tidak mempunyai nama keluarga seperti individu berbangsa Melayu.
“Setakat ini saya tidak nampak ada keperluan untuk dihapuskan ‘bin’ atau ‘binti’ daripada sijil kelahiran atau kad pengenalan bagi masyarakat Islam di Malaysia. Bagi saya, ini hanya merupakan pseudo problem sahaja, bukan problem yang sebenar,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebilangan ibu bapa yang dilihat memilih tidak memasukkan bin atau binti pada sijil lahir atau MyKid anak-anak mereka kerana menganggap ia prosedur merumitkan dan tiada keperluan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan untuk menanganinya, memandangkan ia isu besar dan memerlukan kajian menyeluruh bagi melihat kesan positif dan negatif perkara itu.
“Bagaimanapun perkara ini terserahlah kepada pihak kerajaan. Ini satu isu besar dan perlu kepada kajian menyeluruh untuk melihat kesan-kesannya yang positif dan negatif.
“Ada kaedah fiqh yang bermaksud bahawa segala tindakan yang ingin dilakukan pemerintah ke atas rakyat jelata perlu disandarkan kepada kepentingan mereka (rakyat),” katanya. — The Merdeka Times