Terkini
Kanak-kanak dua tahun keracunan nikotin: Laksanakan segera GEG!
Kerajaan digesa supaya melaksanakan segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG), demikian desak doktor dan pengamal perubatan.
- Kerajaan digesa supaya melaksanakan segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG), demikian desak doktor dan pengamal perubatan. Turut bersama dalam desakan itu adalah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
- “Pass the smoking control bill with the GEG now!” kata Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Instagram hari ini.
- Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Ahli Nicotine Addiction Research UM, Dr Amirul Amzar melihat insiden itu sebagai satu permulaan di mana perlahan-lahan kita akan menyaksikan kesan buruk pengecualian nikotin dari Akta Racun.
- “Adakah kita sanggup melihat banyak lagi kes seperti ini berlaku dalam negara kita? Akibat dari tiada kawalan yang ketat melalui Akta yang sepatutnya diluluskan pada tahun lepas lagi? Tolonglah…” – Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah.
- Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed dengan sarkastik mengucapkan ‘syabas’ kepada Kerajaan Madani, menteri, ahli parlimen dan rakyat Malaysia yang menyokong penggunaan rokok elektronik itu.
- Mereka berkata sedemikian susulan insiden seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berkemungkinan keracunan nikotin dalam rokok elektronik yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad lalu.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya melaksanakan segera Rang Undang-Undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG), demikian desak doktor dan pengamal perubatan.
Turut bersama dalam desakan itu adalah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Ia susulan insiden membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berkemungkinan keracunan nikotin dalam rokok elektronik yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad lalu.
“Pass the smoking control bill with the GEG now!” kata Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Instagram hari ini.
Beberapa doktor yang sememangnya lantang membantah nikotin cecair atau gel dikecualikan di bawah Akta Racun 1952, turut menuntut pelaksanaan GEG disegerakan ekoran insiden sama.
Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Ahli Nicotine Addiction Research UM, Dr Amirul Amzar melihat insiden itu sebagai satu permulaan di mana perlahan-lahan kita akan menyaksikan kesan buruk pengecualian nikotin dari Akta Racun.
“Bayangkan kalau vape dihalalkan sepenuhnya di Malaysia? Bayangkan kalau GEG lulus, tiada lagi kes sebegini kerana penggunaan vape dan rokok akan semakin kurang.
“Kita boleh bayangkan.. dan kita tahu apa yang perlu dilakukan. Masalahnya, adakah menteri-menteri, MP-MP (ahli parlimen) tahu?” katanya menerusi hantaran di Facebook (FB) hari ini.
Senada dengan beliau adalah Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah yang sebelum ini berterusan meminta penggubalan akta untuk mengawal vape disegerakan.
Katanya, melengah-lengahkan atau menangguhkan pelaksanaan akta itu kepada satu masa tertentu boleh mewujudkan risiko di mana lebih banyak nyawa individu tidak berdosa akan terkorban.
“Adakah kita sanggup melihat banyak lagi kes seperti ini berlaku dalam negara kita? Akibat dari tiada kawalan yang ketat melalui Akta yang sepatutnya diluluskan pada tahun lepas lagi? Tolonglah…” katanya.
Doktor Farmasi Klinikal (PharmD), Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed turut membuat kenyataan sarkastik susulan insiden itu.
Beliau mengucapkan ‘syabas’ kepada Kerajaan Madani, menteri, ahli parlimen dan rakyat Malaysia yang menyokong penggunaan rokok elektronik itu.
“Syabas Kerajaan Madani…. syabas menteri-menteri yang halalkan nikotin rokok elektronik.. syabas ahli parlimen yang tolak RUU+GEG demi duit.. Syabas rakyat Malaysia yang sokong vape.. syabas Abang Jamil!” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada April lalu, Mohamad Haniki juga dilaporkan membidas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada negara mampu mengharamkan vape dan rokok.
Menjawab dakwaan itu, beliau menjelaskan terdapat beberapa negara melaksanakan pengharaman ke atas produk terbabit antaranya negara jiran Malaysia sendiri seperti Brunei, Singapura dan Thailand. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Amirul Amzar, Facebook Dr Suhazeli Abdullah, Facebook Mohamad Haniki Nik Mohamed, Instagram @khairykj.