Terkini
TVET bukan tempat kaut untung – Profesor
Pengangguran dalam kalangan graduan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) masih berlaku di negara ini disebabkan bidang kerja dan pengkhususan pengajian yang tidak sepadan dengan keperluan industri.
- Graduan TVET mempunyai peluang lebih baik dalam bidang pekerjaan berbanding mereka menamatkan pengajian dalam bidang akademik. – Pengarah Eksekutif National Digital TVET Innovation Centre (NDTIC), Prof Dr Razali Hassan
- “TVET menawarkan ratusan program kemahiran kepada graduan menganggur sebagai persediaan mereka sebelum mencebur diri dalam bidang pekerjaan. Inilah sebenarnya peranan institusi kemahiran awam seperti politeknik, kolej komuniti, Giat Mara dan lain-lain untuk membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
- Razali berkata isu berkaitan TVET tidak akan selesai selagi ada pihak berkepentingan guna platform pendidikan dan latihan itu sebagai sumber mengaut keuntungan.
PETALING JAYA – Pengangguran dalam kalangan graduan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) masih berlaku di negara ini disebabkan bidang kerja dan pengkhususan pengajian yang tidak sepadan dengan keperluan industri.
Pengarah Eksekutif National Digital TVET Innovation Centre (NDTIC), Prof. Dr. Razali Hassan berkata, pada tahun 2020, sebanyak 78,655 graduan TVET telah dikeluarkan oleh pelbagai institusi, namun masih ada isu pengangguran dalam kalangan mereka.
Bagaimanapun katanya, graduan TVET mempunyai peluang lebih baik dalam bidang pekerjaan berbanding mereka yang menamatkan pengajian dalam bidang akademik.
“Jumlah itu menunjukkan bekalan tenaga kerja negara bergantung kepada kompetensi graduan mengikut bidang berkaitan dengan permintaan industri.
“TVET menawarkan ratusan program kemahiran kepada graduan menganggur sebagai persediaan mereka sebelum mencebur diri dalam bidang pekerjaan. Inilah sebenarnya peranan institusi kemahiran awam seperti politeknik, kolej komuniti, Giat Mara dan lain-lain untuk membantu mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Razali yang juga Profesor Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia menambah, peranan institusi itu perlu disemak semula agar dapat membezakan peranan masing-masing dengan institusi pengajian tinggi.
Menurut Razali, kerjasama dengan pihak industri sangat diperlukan bagi memastikan program yang ditawarkan selari dengan permintaan dan perkembangan industri tempatan dan antarabangsa.
“Melalui latihan kemahiran ini akan memudahkan negara melahirkan lebih ramai graduan TVET berbanding akademik bagi mengelak berlakunya pembaziran melalui latihan dan pendidikan yang perlu dilakukan secara berulang,” katanya.
Tegas Razali, isu berkaitan TVET tidak akan selesai selagi ada pihak berkepentingan menggunakan platform pendidikan dan latihan sebagai sumber mengaut keuntungan.
“Ketika ini terdapat lebih 12 kementerian yang melaksanakan pendidikan dan latihan vokasional mengikut model dan acuan masing-masing.
“Pada masa sama terdapat 1,275 institusi TVET yang melaksanakan latihan dan banyak pihak yang mengaku agensi merekalah yang memenuhi keperluan industri. Sepatutnya mereka ini bersatu menyumbang kepada pembangunan dan bukannya mengaut keuntungan,” katanya.
Sehubungan itu, Razali berpendapat TVET perlu diberikan imej baharu sesuai dengan transformasi dunia digital masa kini yang akan mendominasi alam pekerjaan pada masa akan datang.
Sumber: Kosmo