Terkini
Kes paru-paru bocor meningkat, 95 peratus pesakit pengguna vape tegar – Pakar Anestesiologi
“Saya bayangkan nanti, jika penjualan cecair nikotin tidak dibendung, bakal pesakit paru-paru bocor kami mungkin semakin muda umurnya. Semuda budak sekolah rendah atau tadika barangkali.”
- “Saya bayangkan nanti, jika penjualan cecair nikotin tidak dibendung, bakal pesakit paru-paru bocor kami mungkin semakin muda umurnya. Semuda budak sekolah rendah atau tadika barangkali.”
- Pakar Anestesiologi, Dr Hana Hadzrami mengulas cadangan yang meminta produk cecair atau gel nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 dan dimasukan dalam Akta Makanan.
- Dr Hana menceritakan dalam tempoh dua minggu pada bulan ini sahaja, beliau memberikan bius untuk pembedahan kes paru-paru bocor kepada lima orang pemuda di mana ia belum melibatkan jumlah kes dikendalikan rakan-rakan perubatan lain.
- “Bilangan kes paru-paru bocor kini dah mengalahkan kes kanser paru-paru pula. Berlumba-lumba nampaknya.”
- “Kesemua pesakit itu muda remaja sekitar 20-an. Dan 95 peratus adalah pengguna vape tegar. Kalau dulu kesan rokok selepas 10 hingga 15 tahun baru nampak ketara. Tapi kesan vape lebih laju; hanya 1 hingga 2 tahun pun dah nampak penangannya.”
- Kesan vape sangat ketara bagi paru-paru yang baharu; lebih muda seseorang, lebih laju kesan kerosakan.
KUALA LUMPUR — “Saya bayangkan nanti, jika penjualan cecair nikotin tidak dibendung, bakal pesakit paru-paru bocor kami mungkin semakin muda umurnya. Semuda budak sekolah rendah atau tadika barangkali.”
Demikian reaksi Pakar Anestesiologi, Dr Hana Hadzrami mengulas cadangan yang meminta produk cecair atau gel nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 dan dimasukkan dalam Akta Makanan.
Dr Hana menceritakan dalam tempoh dua minggu pada bulan ini sahaja, beliau telah memberikan bius untuk pembedahan kes paru-paru bocor kepada lima orang pemuda di mana ia belum melibatkan jumlah kes dikendalikan rakan-rakan perubatan lain.
Majoriti pembedahan dijalankan dalam bentuk NIVATS (Non-intubating Video Thoracoscopy); di mana pesakit berada dalam keadaan separa sedar; hanya diberikan bius tidur ringan beserta bius setempat yang dicucuk dari tulang belakang dada.
Slot pembedahan thoracic dulu sekali seminggu meningkat menjadi dua kali seminggu disebabkan keperluan yang kian mendesak malah saban minggu kes pembedahan thoracic itu boleh mencecah enam sehingga lapan pesakit, termasuk kes kecemasan.
“Bilangan kes paru-paru bocor kini dah mengalahkan kes kanser paru-paru pula. Berlumba-lumba nampaknya.
“Kesemua pesakit tersebut adalah muda remaja sekitar 20-an. Dan 95 peratus adalah pengguna vape tegar. Kalau dulu kesan rokok selepas 10 hingga 15 tahun baru nampak ketara. Tapi kesan vape lebih laju; hanya 1 hingga 2 tahun pun dah nampak penangannya.
“Mereka kebanyakannya datang dengan sesak nafas dan sakit dada secara tiba-tiba. Kalau sempat datang ke hospital, maka kami boleh beri bantuan segera dengan menebuk dada untuk meredakan tekanan; sementara nak dibedah.
“Ada juga yang tak sempat ke hospital. Tahu-tahu jumpa dah jadi arwah dalam bilik. Nauzubillah,” katanya di Facebook pada Rabu.
Dr Hana mengatakan bahawa kesan vape sangat ketara bagi paru-paru yang baharu; lebih muda seseorang, lebih laju kesan kerosakan.
Tambahnya, hari ini pod dan vape pula dijual dalam bentuk comel, berlambang kartun, bersaiz kecil hingga adakala tidak perasan kewujudannya apabila di bawa.
Situasi ini menimbulkan persoalan siapakah yang menjadi sasaran mereka (pengeluar) dengan menjual produk tersebut seperti demikian.
“Baru-baru ini ada cadangan supaya nikotin nak dikeluarkan dari Akta Racun. Nak dimasukkan dibawah Akta Makanan pula. Dek kerana nak dikenakan cukai untuk menjana pendapatan. Apa implikasinya kepada kita?
“Bermakna akan datang, penjualan cecair nikotin tidak lagi haram dan tak boleh dirampas oleh penguatkuasa. Bermakna vape bernikotin boleh dijual di premis awam dan sesiapa saja boleh mendapatkannya vape termasuk kanak-kanak.
“Perlu diingat; bukan hanya cecair nikotin boleh diletakkan dalam pod vape; tetapi kanabis dan THC juga. Bagaimana agaknya kita nak pantau anak-anak kita jika ianya berleluasa?
“Sudahlah saranan semua persatuan perubatan untuk Generasi End Game gagal dan ditolak mentah-mentah. Bahana rokok pun tak berkesudahan, nak ditambah dengan vape pula,” katanya yang juga merupakan seorang penulis. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Hana Hadzrami