Connect with us

Terkini

STAR diarah tangani kesesakan di fasiliti kesihatan awam – Fadhillah

Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang ditubuhkan akan menerajui usaha untuk mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

STAR diarah tangani kesesakan di fasiliti kesihatan awam – Fadhillah
Foto: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof.
  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata banyak usaha sudah dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan tetapi ia tetap menjadi tumpuan rakyat kerana perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti selain caj dikenakan hampir percuma.
  • Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tan Sri Mohd Zuki Ali akan meneliti isu berkenaan dan mengambil langkah perlu.
  • “Jadi pokok pangkalnya, mengapa hospital masih sesak mungkin mutu perkhidmatan kita sudah bertambah baik tetapi pada masa yang sama, memberikan gambaran adakah kita rakyat Malaysia tidak mengamalkan budaya hidup yang sihat.
  • “Sebab itu juga hospital kerajaan ini menjadi tumpuan dan untuk itulah, kalau kita melihat kerajaan turut menambah jumlah doktor, jururawat…semuanya bertambah tetapi masih berdepan dengan kesesakan.” 

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang ditubuhkan akan menerajui usaha untuk mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata banyak usaha sudah dilakukan kerajaan untuk mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan tetapi ia tetap menjadi tumpuan rakyat kerana perkhidmatan yang ditawarkan berkualiti selain caj dikenakan hampir percuma.

Katanya, STAR yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tan Sri Mohd Zuki Ali, akan meneliti isu berkenaan dan mengambil langkah perlu.

“Kalau kita lihat mengapa berlakunya kesesakan di hospital walaupun kerajaan telah mengadakan banyak usaha… berapa banyak hospital baharu telah dibina, hospital lama dinaik taraf, klinik kesihatan, klinik desa…semuanya sudah bertambah banyak tetapi kesesakan masih berlaku.

“Jadi kesesakan ini pada saya adalah berpunca…pertama menunjukkan bahawa sistem kesihatan kita yang dilaksanakan oleh semua pegawai kesihatan daripada doktor, jururawat dan semua kementerian yang terlibat penjagaan kesihatan kita sudah bertambah baik.

“Bila bertambah baik, keyakinan rakyat untuk pergi ke hospital sebab perkhidmatan kesihatan yang baik sudah pasti akan merujuk ke hospital kerajaan. “Yang kedua disebabkan hospital kita menyediakan perkhidmatan boleh dikatakan hampir percuma, begitu murah sekali jika dibandingkan dengan perkhidmatan hospital swasta.

“Sebab itu juga hospital kerajaan ini menjadi tumpuan dan untuk itulah, kalau kita melihat kerajaan turut menambah jumlah doktor, jururawat…semuanya bertambah tetapi masih berdepan dengan kesesakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Belian menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta perdana menteri menyatakan langkah kerajaan menangani kesesakan hospital kerajaan pada ketika ini semakin membimbangkan, di mana rakyat tidak mendapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang bersesuaian di samping perlu menunggu lama bagi mendapatkan khidmat kesihatan di hospital kerajaan.

Setakat tahun lalu, jumlah keseluruhan bilangan hospital dalam negara sebanyak 355 buah iaitu 209 hospital swasta dan 146 hospital kerajaan.

Manakala jumlah klinik membabitkan sebanyak 11,577 buah iaitu 8,419 klinik kesihatan swasta dan 3,158 klinik kesihatan kerajaan.

Menyentuh peranan yang boleh diambil rakyat bagi mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan, Fadhillah menyarankan agar mengambil langkah pencegahan kesihatan diri ditingkatkan.

Dengan pendekatan seperti itu, beliau berkata masyarakat dapat membudaya amalan hidup sihat sekali gus berupaya menghindari penyakit kritikal.

“Jadi pokok pangkalnya, mengapa hospital masih sesak mungkin mutu perkhidmatan kita sudah bertambah baik tetapi pada masa yang sama, memberikan gambaran adakah kita rakyat Malaysia tidak mengamalkan budaya hidup yang sihat.

“Sebab itulah, lebih ramai terpaksa dirujuk ke hospital, pergi (jumpa) doktor sebab demam, sakit dan sebagainya. Sebab itu, penekanan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) juga untuk mempromosikan budaya hidup sihat.

“Ini amat penting sebagai preventive measure (langkah pencegahan) yang patut kita fokuskan di sini. Saya kira peranan semua ahli parlimen untuk kita jalankan program bersama dengan KKM dengan doktor-doktor supaya memberi kesedaran mengamalkan budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

“Ini supaya (rakyat) tak payah (perlu) pergi ke hospital. Hanya untuk (mereka) yang sakit kritikal dan sebagainya. Hospital kita ini terbaban dengan kita mengendalikan terlalu banyak kes-kes kesihatan yang akhirnya merugikan negara dari segi kedudukan kewangan serta merugikan rakyat kita sendiri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author