Antarabangsa
Pesakit Yahudi ‘terganggu’ karya seni, Hospital di London turunkan lukisan kanak-kanak Gaza
Sebuah hospital menurunkan karya seni dilukis kanak-kanak Palestin dari Gaza selepas menerima aduan daripada badan kebajikan British pro-Israel, lapor Middle East Eye.
- Sebuah hospital menurunkan karya seni dilukis kanak-kanak Palestin dari Gaza selepas menerima aduan daripada badan kebajikan British pro-Israel.
- Hospital itu diminta menurunkan karya seni selepas mendapat aduan bagi pihak beberapa pesakit Yahudi, yang mendakwa “mereka merasa terganggu dengan karya seni ini”.
- Karya seni itu dilukis kanak-kanak di dua sekolah dikendalikan UNRWA di Gaza dan dilukis semula ke atas pinggan oleh kanak-kanak di sekolah Hospital Komuniti Chelsea.
- Kanak-kanak di kedua-dua sekolah Gaza itu dituduh diajar dengan ideologi Hamas yang tertanam dalam kurikulum mereka. – UKLFI
LONDON – Sebuah hospital menurunkan karya seni dilukis kanak-kanak Palestin dari Gaza selepas menerima aduan daripada badan kebajikan British pro-Israel, lapor Middle East Eye.
Menurut kenyataan Peguam-peguam UK untuk Israel (UKLFI), hospital itu diminta menurunkan paparan itu selepas mendapat aduan NGO terbabit bagi pihak beberapa pesakit Yahudi yang mendakwa “mereka merasa terganggu dengan karya seni itu”.
Karya seni itu merangkumi paparan pinggan berhias dengan ilustrasi kepentingannya. Dengan tajuk “Crossing Borders – a festival of Plates”, karya seni itu dipaparkan di pintu masuk ke bahagian pesakit luar untuk kanak-kanak di Hospital Chelsea dan Westminster.
Karya seni itu dilukis kanak-kanak di dua sekolah dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di Gaza dan dilukis semula ke atas pinggan oleh kanak-kanak di sekolah Hospital Komuniti Chelsea.
Kapsyen bagi salah satu pinggan paparan ialah: “Cabang zaitun adalah simbol keamanan dan digunakan untuk menyatakan hasrat untuk kemerdekaan Palestin.”
Kumpulan itu berkata: “Lukisan-lukisan dari Gaza semuanya kelihatan seperti karya seni profesional, dalam gaya yang sama, dan dilakukan oleh orang yang sama,” walaupun ianya dikatakan dilukis kanak-kanak di Sekolah Perempuan Beit Lahia dan Sekolah Lelaki Prep A di Gaza.
UKLFI berkata dalam aduan itu beberapa karya seni memaparkan Palestin meliputi seluruh kawasan Israel.
Menurut UKLFI lagi, kanak-kanak di kedua-dua sekolah Gaza itu didakwa diajar dengan ideologi Hamas yang tertanam dalam kurikulum mereka.
“Hakikat orang dewasa merasakan karya seni oleh kanak-kanak menakutkan, bahawa UKLFI boleh mengeluarkan aduan dan akhirnya bagi hospital bertindak menurunkan karya seni itu adalah benar-benar pelik,” kata Anas Altikriti, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Cordoba, kumpulan penyelidikan yang berpangkalan di UK.
Sumber: Middle East Eye