Terkini
Kesesakan bukan punca pesakit mental tikam pesakit lain di Hospital Selayang
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kejadian pesakit mental menikam pesakit lain berpunca daripada kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang.
- Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan punca pesakit mental menikam pesakit lain akibat kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang.
- Menurut Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pesakit mental boleh bertindak di luar jangka di mana-mana tempat sekalipun.
- “Jabatan Kecemasan memang sentiasa sesak tetapi isunya ialah SOP. Kalau dia pesakit psikiatri, kita kena ada SOP supaya kita jaga keselamatan pesakit lain,” – Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
SUBANG: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kejadian pesakit mental menikam pesakit lain berpunca daripada kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang.
Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan pesakit mental boleh bertindak di luar jangka di mana-mana tempat sekalipun.
Justeru, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) menguruskan pesakit mental yang dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan fasiliti kesihatan perlu diperkemaskan bagi mengelak situasi luar jangka membabitkan golongan itu berulang.
“Kita kena perkemaskan SOP, … kebetulan (pesakit mental) datang ke tempat kecemasan, itu jadi tanggapan disebabkan kesesakan.
“Kalau pesakit psikiatri terganggu fikiran, bukan di hospital pun dia akan jadi masalah juga. Jadi laporan nak tuju kepada kesesakan mungkin bukan sebab musabab. Yang penting adalah rawatan.
“Jabatan Kecemasan memang sentiasa sesak tetapi isunya ialah SOP. Kalau dia pesakit psikiatri, kita kena ada SOP supaya kita jaga keselamatan pesakit lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Inisiatif Pembedahan Global di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian malam tadi, seorang pesakit yang menunggu untuk menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang ditikam seorang pesakit yang mengalami masalah psikiatri.
Mangsa yang cedera disahkan dalam keadaan stabil.
Difahamkan, mangsa yang menghidap demam denggi datang ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan sebelum dia diserang.
Sumber: Berita Harian