Terkini
Diplomasi, dialog kaedah Malaysia tangani isu Islamofobia – Timbalan Menteri Luar
Malaysia akan memperjuangkan hak umat Islam di peringkat antarabangsa termasuk menangani isu Islamofobia melalui wadah diplomasi dua hala, pelbagai hala dan serantau.
- Isu berkenaan termasuk kebajikan rakyat Palestin dan etnik Rohingya. – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin
- “Usaha berkenaan akan mempergiatkan tangani pelbagai cabaran antarabangsa dalam budaya damai.”
- “Pelaksanaan dasar luar negeri berkesan mampu jadi pemangkin kepada ekonomi berdaya maju dan mampan sejajar dengan Malaysia Madani,”
- “Malaysia ambil sikap berhati-hati, sekali gus tidak akan memihak kepada mana-mana kuasa besar sama ada China atau Amerika Syarikat dalam persaingan mereka termasuk isu di Laut China Selatan,” katanya.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperjuangkan hak umat Islam di peringkat antarabangsa termasuk menangani isu Islamofobia melalui wadah diplomasi dua hala, pelbagai hala dan serantau.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata isu berkenaan termasuk mengenai kebajikan rakyat Palestin dan etnik Rohingya.
Beliau berkata usaha berkenaan akan mempergiatkan menangani pelbagai cabaran antarabangsa dalam budaya damai.
Katanya, usaha itu antaranya dilaksanakan melalui sesi dialog, komunikasi dan penekanan falsafah hidup bersama.
“Contohnya baru-baru ini Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga mengadakan lawatan rasmi di Arab Saudi dan mengambil kesempatan bertukar pandangan mengenai sentimen anti Islam di sesetengah tempat sejak kebelakangan ini.
“Pelaksanaan dasar luar negeri yang berkesan mampu menjadi pemangkin kepada ekonomi berdaya maju dan mampan sejajar dengan Malaysia Madani,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah kerangka dasar luar Malaysia yang terkini mengambil kira perkembangan geopolitik semasa.
Pada masa sama, Mohamad berkata, Malaysia mengambil sikap berhati-hati, sekali gus tidak akan memihak kepada mana-mana kuasa besar sama ada China atau Amerika Syarikat (AS) dalam persaingan mereka termasuk isu di Laut China Selatan.
Sumber: Berita Harian