Connect with us

Ekonomi

Bajet 2023 perlu fokus kurangkan kos sara hidup rakyat

Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini perlu memberi tumpuan dalam menjamin kesejahteraan rakyat terutama mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi terhadap golongan rentan, demikian kata penganalisis.

Wartawan TMT

Published

on

Bajet 2023 perlu fokus kurangkan kos sara hidup rakyat
Foto: Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai
  • Bantuan tunai masih diperlukan bagi pastikan golongan berpendapatan rendah kekal berdaya tahan hadapi persekitaran ekonomi yang mencabar. – Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai
  • “Pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa jadi tumpuan, namun dengan jangkaan ekonomi global semakin tidak menentu dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan, adalah perlu untuk Bajet 2023 beri tumpuan pada kesejahteraan rakyat.”
  • “Usaha turunkan harga barang adalah sangat sukar kerana negara tidak boleh melakukan kawalan, terutamanya bahan makanan diimport, dengan harga meningkat boleh mendorong inflasi import.”
  • “Kita tidak boleh mempunyai matlamat kurangkan harga, tapi jika kita boleh stabilkan harga adalah satu pencapaian (dengan ambil kira keadaan semasa),” katanya.

 

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini perlu memberi tumpuan dalam menjamin kesejahteraan rakyat terutama mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi terhadap golongan rentan, demikian kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata bantuan tunai masih diperlukan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah kekal berdaya tahan menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar.

Beliau berkata, lazimnya, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi tumpuan, namun dengan jangkaan ekonomi global semakin tidak menentu dan prospek pertumbuhan kurang memberangsangkan, adalah perlu untuk Bajet 2023 memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

“Bagi saya, fokus pada tahun ini adalah kesejahteraan rakyat kerana kita akan berdepan cabaran sukar.

“Kos sara hidup dijangka meningkat dan apabila kos sara hidup meningkat, pendapatan benar (rakyat) menjadi rendah dan tahap kesengsaraan makin tinggi,” katanya kepada BH.

Barjoyai berkata, persoalan sekarang adalah bagaimana untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, yang mana secara teorinya adalah dengan menurunkan harga barang.

Advertisement

Namun, beliau berkata usaha menurunkan harga barang adalah sesuatu yang sangat sukar kerana negara tidak boleh melakukan kawalan, terutamanya bahan makanan yang diimport, dengan harga yang meningkat boleh mendorong inflasi import.

Justeru, katanya, kerajaan perlu menangani isu kenaikan harga barang dengan memastikan pengguna tidak dieksploitasi dan pada masa sama menjamin kelangsungan perniagaan.

“Kita tidak boleh mempunyai matlamat mengurangkan harga, tetapi jika kita boleh menstabilkan harga adalah satu pencapaian (dengan mengambil kira keadaan semasa),” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Pembentangan semula bajet tahunan itu berikutan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 tidak dapat dibahas dan diluluskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Ketika ia dibentangkan kali pertama pada awal Oktober tahun lalu, peruntukan bajet itu paling besar dan tinggi dalam sejarah negara iaitu berjumlah RM372.3 bilion.

Advertisement

 

Sumber: Berita Harian

Ekonomi

Rasuah punca harga barang naik

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.

Wartawan TMT

Published

on

Rasuah punca harga barang naik
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan faktor penyumbang kenaikan kos sara hidup rakyat.
  • Perkara itu dibuktikan menerusi kertas kerja Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang punya unsur rasuah. – Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh 
  • Ujarnya, rasuah memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.
  • Rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan banyak rasuah membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat. – Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay

 

SHAH ALAM: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) senada dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kewujudan amalan rasuah dalam rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang utama kenaikan kos sara hidup rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, perkara itu dibuktikan menerusi satu kertas kerja oleh Coalition for Business Integrity (CBI) yang mengenal pasti proses pembekalan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai unsur rasuah akan menyebabkan peningkatkan kos.

Beliau berkata, ekoran kos pengurusan perniagaan yang semakin meningkat, kesannya terpaksa ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna akhir.

Menurut beliau, hasil dapatan daripada kertas kerja itu juga mendedahkan bagaimana rasuah memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna, melalui penciptaan tekanan menaik ke atas harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

“Penyelidikan kolaboratif ini mendapati bagaimana rasuah sistemik bukan suatu yang hanya memberi kesan kepada peringkat tertinggi masyarakat, malah sebenarnya turut memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian rakyat melalui inflasi buatan sehingga meningkatkan kos sara hidup.

“Dengan tumpuan pada sektor pembinaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan, penyelidikan dilakukan oleh IDEAS dan CBI ini juga mendapati bahawa pemberian habuan adalah satu bentuk rasuah yang paling biasa dalam sektor swasta dan awam.

Advertisement

“Namun begitu, terdapat juga bentuk-bentuk rasuah lain termasuk perbuatan peras ugut, penyelewengan, penipuan, penyalahgunaan budi bicara serta sifat pilih kasih,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CBI, Mark Chay turut sependapat dengan Dr Mahathir dan menegaskan bahawa pelbagai masalah yang dihadapi Malaysia adalah berpunca daripada kekurangan integriti yang berleluasa dalam menguruskan sumber-sumber negara.

Beliau berkata, amalan rasuah dan salah guna kuasa telah mengganggu persaingan sihat, menyekat pembangunan sektor swasta, menyebabkan halangan kemasukan para pelabur asing, menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam serta menghasilkan perbelanjaan kerajaan yang tidak cekap.

Tambah beliau, perbuatan rasuah juga menyumbang kepada tahap inflasi harga yang lebih tinggi serta menekan pendapatan orang ramai, sekali gus menggalakkan lebih banyak rasuah yang membawa kepada kitaran ganas penindasan terhadap rakyat.

“Salah satu sebab punca kos sara hidup naik adalah disebabkan oleh rasuah apabila perkara itu berkait rapat dengan isu kos melaksanakan perniagaan.

“Ini berlaku apabila urusan perniagaan diselitkan dengan keperluan untuk merasuah, malah perbuatan jijik rasuah ini dikira sebagai kos pengurusan perniagaan.

Advertisement

“Semua itu seterusnya dikembalikan dan disalurkan kepada masyarakat atau dikenali sebagai trickle-down effect,” katanya.

Pada sidang media selepas menghadiri Forum Usahawan Bumiputera, ‘Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan’ di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada Sabtu, Dr Mahathir menegaskan, kos sara hidup di Malaysia meningkat kerana rasuah yang berleluasa.

Menurut Dr Mahathir, apabila setiap urusan diselitkan elemen rasuah, ia menyebabkan harga barang dan perkhidmatan menjadi semakin mahal. 

 

Sumber: Astroawani

Advertisement
Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending