Antarabangsa
AS sekat visa kepada anggota Taliban
Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan sekatan baharu visa kepada anggota Taliban sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim itu menyekat hak wanita.
- “Sekatan itu terpakai ke atas anggota Taliban atau bekas anggota dan individu lain dipercayai bertanggungjawab atau bersubahat dalam usaha menindas wanita serta gadis di Afghanistan melalui dasar sekatan dan keganasan termasuk keputusan Taliban untuk mengharamkan wanita dari memasuki universiti dan bekerja dengan NGO.
- “Ahli keluarga terdekat mereka yang terlibat juga mungkin tertakluk kepada sekatan visa itu,” – Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
- Beliau berkata Taliban sekali lagi buat keputusan tanpa menghiraukan kebajikan rakyat Afghanistan telah memaksa lebih satu juta gadis dan wanita muda Afghanistan tidak mendapat akses kepada pendidikan.
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan sekatan baharu visa kepada anggota Taliban sebagai tindak balas terhadap tindakan rejim itu menyekat hak wanita.
“Sekatan itu terpakai ke atas anggota Taliban atau bekas anggota dan individu lain yang dipercayai bertanggungjawab atau bersubahat dalam usaha menindas wanita serta gadis di Afghanistan melalui dasar sekatan dan keganasan termasuk keputusan Taliban untuk mengharamkan wanita dari memasuki universiti dan bekerja dengan NGO.
“Ahli keluarga terdekat mereka yang terlibat juga mungkin tertakluk kepada sekatan visa itu,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken dalam satu kenyataan, menurut Agensi Anadolu.
Blinken berkata Taliban sekali lagi membuat keputusan tanpa menghiraukan kebajikan rakyat Afghanistan yang telah memaksa lebih satu juta gadis dan wanita muda Afghanistan tidak mendapat akses kepada pendidikan.
Beliau berkata Taliban tidak wajar mengharapkan pengiktirafan dan sokongan masyarakat antarabangsa selagi mereka tidak menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asasi semua rakyat Afghanistan termasuk wanita dan gadis.
Pentadbiran Taliban dilaporkan akan mengambil langkah untuk menutup universiti kepada pelajar wanita sehingga diberitahu kelak dan menghalang kanak-kanak perempuan daripada menghadiri sekolah menengah, menyekat kebebasan wanita dan kanak-kanak, mengecualikan wanita daripada kebanyakan pekerjaan selain melarang mereka menggunakan beberapa kemudahan.
Sumber: Astro Awani