Terkini
Suami isteri didakwa aniaya kanak-kanak tiga tahun hingga cedera
- Pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ Hamzi Amni Zamali, 40, dan suri rumah, Nurazwani Ahmad Rosli, 29, didakwa bersama-sama sebagai orang memelihara kanak-kanak itu menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah unit rumah pangsa kos rendah di Bandar Tasik Selatan di sini pada 23 Mei 2026.
- Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, bulan lepas.
Pengawal kelab malam atau ‘bouncer’ Hamzi Amni Zamali, 40, dan suri rumah, Nurazwani Ahmad Rosli, 29, didakwa bersama-sama sebagai orang memelihara kanak-kanak itu menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah unit rumah pangsa kos rendah di Bandar Tasik Selatan di sini pada 23 Mei 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh atas faktor keseriusan kes yang melibatkan kanak-kanak, iaitu anak kandung kepada Nurazwani.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, Ravindejit mencadangkan jumlah RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan.
“Untuk maklumat mahkamah tertuduh pertama (Hamzi Amni) mempunyai banyak rekod lampau termasuk rogol, samun dan rompak. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon agar mangsa dalam kes ini tidak tinggal serumah dengan kedua-dua tertuduh,” katanya.
Hamzi Amni yang juga bapa tiri mangsa dan Nurazwani yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan terhadap mereka dikurangkan dengan alasan pasangan itu perlu menanggung keluarga di kampung.
Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berdekatan serta dilarang mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – BERNAMA