Terkini
Trump akui kebuluran berlaku di Gaza
- “Kita boleh selamatkan ramai orang. Maksud saya, sebahagian kanak-kanak itu…itu memang betul-betul kebuluran. Saya lihat sendiri, dan perkara itu tak boleh dipalsukan. Jadi kita akan lebih terlibat.” – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump
- “Sebelum kita lakukan apa-apa, kita kena pastikan kanak-kanak diberi makan terlebih dahulu.” katanya.
- Trump berkata Israel mempunyai “banyak tanggungjawab” terhadap situasi makanan di Semenanjung Gaza.
LONDON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata pusat makanan akan ditubuhkan di Gaza di mana “orang ramai boleh masuk tanpa halangan,” sambil secara terbuka mengakui bahawa terdapat “kebuluran sebenar” yang sedang berlaku di wilayah terkepung itu.
“Kita boleh selamatkan ramai orang. Maksud saya, sebahagian kanak-kanak itu… itu memang betul-betul kebuluran. Saya lihat sendiri, dan perkara itu tak boleh dipalsukan. Jadi kita akan lebih terlibat,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer di salah satu padang golf komersial milik presiden itu di Scotland.
“Sebelum kita lakukan apa-apa, kita kena pastikan kanak-kanak diberi makan terlebih dahulu,” kata Trump, di tengah-tengah kemarahan antarabangsa berhubung rakyat Gaza yang didorong ke ambang kebuluran.
Beliau berkata Israel mempunyai “banyak tanggungjawab” terhadap situasi makanan di Semenanjung Gaza.
“Kita memang perlu jaga keperluan kemanusiaan.
“Kita akan tubuhkan pusat makanan, dan kita akan lakukannya bersama-sama dengan beberapa pihak yang sangat baik, dan kita akan salurkan dana,” katanya yang dipetik Anadolu Ajansi.
Beliau turut menyatakan bahawa negara lain, termasuk United Kingdom, turut menyertai mereka dalam menyalurkan dana untuk bantuan makanan. – The Merdeka Times