Terkini
Pembelian pesawat Boeing sebelum Trump kenakan tarif ke atas Malaysia – Tengku Zafrul
- “MAG beli bukan kerana tarif, tetapi kerana mereka ada keperluan untuk tambah pesawat. Jadi, kena faham, pembelian ini semuanya telah dirancang syarikat, tetapi kita ambil kesempatan untuk gunakan data ini dalam rundingan tarif,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
- Memperincikan kaitan urus niaga itu dengan rundingan tarif, Tengku Zafrul berkata antara punca AS mengenakan tarif adalah kerana Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan negara maju tersebut, iaitu negara ini lebih banyak menjual barangan ke AS, tetapi kurang membeli daripada mereka.
- Justeru, tujuan Malaysia menyenaraikan pembelian itu katanya adalah untuk menunjukkan kepada AS bahawa negara ini sebenarnya juga banyak membeli daripada mereka.
- Tengku Zafrul berkata pembelian pesawat baharu itu bagi menampung permintaan semakin meningkat.
- Menjelaskan dakwaan pembelian pesawat Boeing itu dibeli kerajaan, Tengku Zafrul berkata syarikat penerbangan nasional itu telah membuat pengiraan awal sama ada keputusan itu akan menjana untung atau rugi.
KUALA LUMPUR — Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bahawa pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) diumumkan pada Mac lalu dengan opsyen tambahan 30 lagi pesawat, adalah sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif ke atas negara ini.
Jelas beliau, pembelian pesawat baharu itu adalah kerana sememangnya terdapat keperluan untuk menambah bilangan pesawat dan ia sudah dirancang sebelum sebarang tarif baharu diumumkan.
“MAG beli bukan kerana tarif, tetapi kerana mereka ada keperluan untuk tambah pesawat. Jadi, kena faham, pembelian ini semuanya telah dirancang syarikat, tetapi kita ambil kesempatan untuk gunakan data ini dalam rundingan tarif,” katanya dipetik Berita Harian pada Ahad.
Memperincikan kaitan urus niaga itu dengan rundingan tarif, Tengku Zafrul berkata antara punca AS mengenakan tarif adalah kerana Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan negara maju tersebut, iaitu negara ini lebih banyak menjual barangan ke negara terbabit, tetapi kurang membeli daripada mereka.
Justeru, tujuan Malaysia menyenaraikan pembelian itu katanya adalah untuk menunjukkan kepada AS bahawa negara ini sebenarnya juga banyak membeli daripada mereka.
“Apa yang kita buat, kita dapatkan senarai perancangan pembelian daripada pelbagai syarikat. Kita tanya syarikat A, syarikat B, syarikat C. Apa barang yang mereka sedang beli atau rancang untuk beli daripada AS.
“MAG bagi senarai dia, syarikat lain pun bagi senarai dan senarai ini kita tunjuk kepada AS. Lihat, Malaysia rancang beli X bilion untuk semikonduktor, Y billion untuk LNG (gas asli cecair), Z bilion untuk kapal terbang.
“Apabila AS lihat kita memang ada perancangan mahu membeli banyak barang daripada mereka, maka mereka mempertimbangkan untuk menurunkan tarif,” katanya yang turut menambah bahawa pembelian pesawat baharu berkenaan adalah bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
Menurut beliau, berdasarkan graf penumpang pesawat di Malaysia, terdapat peningkatan dari tahun ke tahun dengan 11 juta pada 2021, 55 juta pada 2022, 85 juta pada 2023, 98 juta pada 2024 dan anggaran 113 juta pada tahun ini.
Sehubungan itu, katanya MAG perlu menambah pesawat untuk menampung permintaan yang semakin tinggi dan jika tidak berbuat demikian, penumpang akan guna syarikat penerbangan lain.
“MAG akan terlepas peluang untuk menambah untung, jadi kena beli kapal terbang yang baharu,” katanya.
Tambah Tengku Zafrul, bagi tempahan pesawat Boeing yang dibuat pada tahun ini, penghantaran paling awal adalah menjelang 2030.
Dalam hal ini, katanya MAG perlu membuat perancangan awal bagi menggantikan kapal terbang lama, berikutan sebagaimana situasinya jika ada individu ingin membeli kereta yang turut memerlukan dia menunggu hingga lebih setahun sekiranya model itu ‘panas’.
“Itu kereta yang ada banyak pembekal, inikan pula beli kapal terbang yang cuma ada dua pembekal utama iaitu, Boeing dan Airbus. Lagilah kena tempah awal untuk pastikan boleh dapat kapal terbang ini tepat pada waktunya.
“Takkan kena tunggu sampai kapal terbang itu uzur, tak boleh terbang baru cari kapal terbang yang baharu. Itu baru nak ganti kapal terbang lama, belum masuk lagi untuk membesarkan armada,” katanya.
Menjelaskan dakwaan bahawa pembelian pesawat Boeing itu dibeli oleh kerajaan, Tengku Zafrul berkata syarikat penerbangan nasional itu telah membuat pengiraan awal sama ada keputusan itu akan menjana untung atau rugi.
“Jika tak untung, mereka tak beli. Pembelian kapal terbang terbabit adalah untuk MAG menjana pendapatan. Jadi, apa kena mengena dengan cukai pula?” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menerangkan bahawa Malaysia mempunyai satu-satunya kilang yang dimiliki penuh oleh Boeing di Asia Tenggara, iaitu Boeing Composites Malaysia (BCM).
Menurutnya, di sinilah komponen-komponen penting pesawat Boeing dihasilkan oleh lebih 1,000 pekerja yang 100 peratus adalah anak tempatan.
“Selain BCM, banyak juga syarikat lain di Malaysia yang menghasilkan komponen untuk Boeing. Baru-baru ini, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Kemboja, Bangladesh, Vietnam dan banyak negara lain umumkan pembelian.
“Sudah tentu, BCM kena tingkatkan pengeluaran untuk penuhi semua tempahan ini. Tahun lalu, pendapatan sektor aeroangkasa kita mencecah RM25.1 bilion.
“Dengan peningkatan mendadak tempahan Boeing ini, Insya-Allah eksport aeroangkasa kita pun akan turut melonjak. Kakitangan BCM pastinya akan dapat banyak tuntutan kerja lebih masa,” katanya.
“Selepas ini, mana tahu mungkin Boeing akan besarkan lagi kilang dan tambah pekerja. Daripada 1,000 anak Malaysia, mungkin lepas ini jadi 1,500 atau 2,000 pekerja tempatan. Ayuh, kita semarakkan industri aeroangkasa tempatan,” katanya. — The Merdeka Times