Terkini
‘Tohmahan Rasulullah tidak adil kepada para isteri, tidak bersandar fakta benar’ – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Rentetan tohmahan Rasulullah SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda yang dibuat Asiah Abd Jalil, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak bersandar kepada fakta yang benar.
- Rentetan tohmahan Rasulullah SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda yang dibuat peguam, Asiah Abd Jalil, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak bersandar kepada fakta yang benar.
- Tohmahan itu juga tidak lebih sekadar satu tuduhan jahat akibat prasangka buruk terhadap Baginda.
- Keadilan Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan lagi, bahkan dalam satu riwayat, Aisyah RA sendiri mengakui akan keadilan Nabi terutama berkaitan pembahagian giliran hari untuk isteri-isteri Baginda.
KUALA LUMPUR – Rentetan tohmahan Rasulullah SAW tidak berlaku adil kepada para isteri Baginda yang dibuat Asiah Abd Jalil, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak bersandar kepada fakta yang benar.
Bahkan, katanya tohmahan itu juga tidak lebih sekadar satu tuduhan jahat akibat prasangka buruk terhadap Baginda.
Sebelum ini, Asiah Abd Jalil membuat kenyataan di Facebook menyatakan bahawa Nabi tidak mampu berlaku adil berikutan beliau merujuk petikan awal ayat Al-Quran dalam surah At-Tahrim.
Petikan Surah al-Tahrim (1) itu menyatakan, “ Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
“Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, lafaz al-tahrim dalam surah ini merujuk kepada sama ada perbuatan Nabi SAW yang mengharamkan dirinya daripada memakan madu, atau menurut sebahagian riwayat yang lain, mengharamkan dirinya daripada menyetubuhi sebahagian daripada isterinya (atau dalam kes ini, hambanya).
“Perbezaan dalam memahami ayat ini timbul disebabkan perbezaan pandangan ulama dalam menetapkan kisah sebenar yang menjadi punca kepada penurunan ayat tersebut.
“Hasil analisis kami mendapati bahawa sebab turunnya awal ayat surah al-Tahrim adalah disebabkan riwayat yang kedua iaitu riwayat tentang Nabi SAW mengharamkan dirinya meminum madu.
“Perkara ini berdasarkan kepada ijtihad majoriti ulama seperti al-Qadhi Iyadh, Ibn Kathir, al-Nawawi, al-Zahabi dan ramai lagi yang menyatakan riwayat itu mempunyai kecacatan pada sanadnya,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, dalam ayat tersebut, Allah SWT memanggil Nabi dengan panggilan yang mulia iaitu “wahai Nabi” di mana panggilan berkenaan menunjukkan kemuliaan dan ketinggian darjat Rasulullah SAW.
Justeru, katanya jika Allah SWT murka terhadap perbuatan Rasulullah SAW yang dikatakan telah mengkhianati isterinya, nescaya Allah SWT tidak akan menggunakan panggilan yang mulia seperti itu.
Kenyataan itu juga mengatakan bahawa disebabkan keluhuran akhlak Baginda, Nabi mengharamkan Mariah al-Qibtiyyah RA untuk dirinya namun kemudian ditegur oleh Allah supaya tidak mengharamkan perkara yang halal untuk Baginda.
Hal Ini menunjukkan bahawa Mariah al-Qibtiyyah RA itu halal untuk Baginda sama ada sebelum mahupun setelah diturunkan ayat surah al-Tahrim.
Tambahnya, keadilan Nabi SAW tidak dapat dipertikaikan lagi, bahkan dalam satu riwayat, Aisyah RA sendiri mengakui akan keadilan Nabi terutama berkaitan pembahagian giliran hari untuk isteri-isteri Baginda.
Imam Abu Daud meriwayatkan bahawa Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW tidak melebihkan sebahagian kami dengan yang lainnya dalam bab pembahagian hari untuk isteri-isteri Baginda, ketika Baginda sakit Baginda meminta izin kepada isteri-isteri Baginda untuk duduk di rumah Aisyah lalu mereka mengizinkan.”
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga mengingatkan supaya kita menjaga adab dengan Rasulullah SAW sebagai rasul utusan Allah SWT, yang merupakan sebaik-baik panutan dalam hidup.
Ini berikutan, untuk mengelakkan kita daripada terjerumus dalam perbuatan menghina serta merendah-rendahkan Baginda SAW. – The Merdeka Times