Connect with us

Antarabangsa

Serangan berparang di dua gereja Sepanyol, seorang mangsa maut

Seorang pegawai gereja terbunuh dan seorang paderi cedera parah selepas seorang lelaki yang bersenjatakan parang menyerbu dua gereja di selatan Sepanyol, semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Serangan berparang di dua gereja Sepanyol, seorang mangsa maut
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Seorang pegawai gereja terbunuh dan seorang paderi cedera parah selepas seorang lelaki bersenjatakan parang menyerbu dua gereja di selatan Sepanyol, semalam.
  • Penyerang memakai jubah panjang dan melaungkan sesuatu ketika melakukan serangan itu. – Sumber Polis
  • Dewan bandaran Algeciras berkata ia akan mengumumkan hari berkabung rasmi pada hari ini dan bendera akan dikibarkan separuh tiang.
  • Kes itu turut dikecam masyarakat Islam tempatan, yang mengutuk serangan kejam dan ganas di Algeciras serta kesal dengan kematian pembantu gereja terbabit.

ALGECIRAS: Seorang pegawai gereja terbunuh dan seorang paderi cedera parah selepas seorang lelaki yang bersenjatakan parang menyerbu dua gereja di selatan Sepanyol, semalam.

Menurut kerajaan Sepanyol, pendakwa raya negara itu segera membuka siasatan keganasan terhadap serangan yang berlaku di bandar pelabuhan Algeciras di wilayah selatan Andalusia, Sepanyol.

“Selepas 7 malam tadi (Rabu), seorang lelaki bersenjatakan parang memasuki gereja San Isidro di Algeciras, dan menyerang paderi, menyebabkan beliau cedera parah,” kata kenyataan Kementerian Dalam Negeri Sepanyol.

“Lelaki itu kemudian memasuki sebuah lagi gereja Nuestra Senora de La Palma dan merosakkan barangan serta menyerang pembantu gereja.

“Pembantu berkenaan berjaya keluar dari gereja tetapi diserang di luar gereja dan disahkan maut akibat kecederaannya,” katanya.

Laporan AFP menyatakan suspek berjaya ditahan polis dan senjatanya dirampas.

Kedua-dua gereja itu berjarak beberapa ratus meter dan terletak berhampiran pelabuhan di bandar berkenaan.

Polis pada mulanya berkata beberapa orang mengalami kecederaan, tetapi kemudian mengesahkan hanya seorang paderi memerlukan bantuan kecemasan akibat cedera di leher.

Datuk Bandar Algeciras turut mengesahkan kematian pembantu gereja, Diego Valencia dan mengenal pasti paderi itu sebagai Antonio Rodriguez.

Dalam catatan di Twitter, penduduk tempatan berkata Rodriguez, 74, sedang menjalankan upacara Eucharist di gereja San Isidro ketika beliau diserang, dan menggambarkan keadaannya sebagai ‘serius tetapi stabil’.

Sumber polis memberitahu AFP bahawa penyerang itu memakai jubah panjang dan melaungkan sesuatu ketika melakukan serangan itu.

Sementara itu, saksi di Nuestra Senora de La Palma memberitahu media tempatan bahawa seorang lelaki berlari masuk ke dalam bangunan itu kira-kira jam 7.30 malam ketika mereka sedang menamatkan upacara Eucharist.

Saksi berkata suspek menjerit dan mula membaling barang keagamaan termasuk salib dan lilin ke lantai.

Pendakwa raya Sepanyol membuka siasatan keganasan yang diketuai oleh hakim dari Audiencia Nacional, mahkamah jenayah tertinggi Sepanyol bagi mengendalikan kes berkaitan keganasan.

Polis belum mengenal pasti suspek, namun mengeluarkan video di mana suspek dilihat dari belakang memakai jaket warna hitam, putih dan kelabu serta berseluar hitam sedang dibawa dalam keadaan bergari, oleh dua pegawai polis.

Dewan bandaran Algeciras berkata ia akan mengumumkan hari berkabung rasmi pada hari ini dan bendera akan dikibarkan separuh tiang.

Bantahan turut diadakan pada tengah hari untuk menyatakan kemarahan terhadap pertumpahan darah dan serangan itu mendapat kecaman dari seluruh spektrum politik.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam serangan dahsyat ini,” kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez, di Twitter dan turut mendoakan mereka yang cedera segera pulih.

Ketua pembangkang, Alberto Nunez Feijoo, dari Parti Popular sayap kanan berkata beliau terkejut dengan tragedi itu.

Polis bagaimanapun belum mengulas mengenai kemungkinan motif, atau fahaman politik dan agama penyerang.

Kes itu turut dikecam oleh masyarakat Islam tempatan, yang mengutuk serangan kejam dan ganas di Algeciras serta kesal dengan kematian pembantu gereja terbabit.

“Perbuatan jenayah ini, yang sesetengahnya mahu dikaitkan dengan Islam atau Muslim, mencemarkan kewujudan bersama yang dinikmati masyarakat di Algeciras secara sejarah.

“Serangan ini jauh tersasar dari agama kita dan masyarakat Islam,” katanya dalam satu hantaran Facebook masjid Ishbilia di Seville, ibu kota wilayah itu. – AFP

 

Sumber: Berita Harian

Author