Antarabangsa
Australia hadkan penjualan alkohol di Alice Springs bagi tangani keganasan
Australia bakal mengehadkan penjualan alkohol dan mempertimbangkan larangan minuman itu untuk mengawal keganasan..
- Australia bakal mengehadkan penjualan alkohol dan mempertimbangkan larangan minuman itu untuk mengawal keganasan yang semakin meningkat di wilayah tengah negara itu.
- Penjualan alkohol itu akan dihadkan di Alice Springs pada hari Ahad, Isnin dan Selasa serta jualan juga dikurangkan pada hari-hari lain.
- Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata langkah berkaitan alkohol perlu dilihat dalam konteks lebih luas.
- Keputusan dibuat adalah berdasarkan jurang yang wujud dalam konteks kesihatan, pendapatan isi perumahan, jangka hayat, kadar pemenjaraan antara Orang Asli dan bukan Orang Asli Australia, kata Albanese.
SYDNEY – Australia bakal mengehadkan penjualan alkohol dan mempertimbangkan larangan minuman itu untuk mengawal keganasan yang semakin meningkat di wilayah tengah negara itu.
Peraturan baharu di bandar Alice Springs di mana satu per lima daripada warganya adalah Orang Asli itu bermakna penjualan alkohol secara takeaway (bawa pulang) akan dihadkan pada hari Ahad, Isnin dan Selasa serta jualan dikurangkan pada hari-hari lain.
Ini selepas pemimpin masyarakat di seluruh negara itu sudah lama mengenal pasti penyalahgunaan alkohol sebagai punca besar keganasan dan masalah kesihatan.
Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata langkah berkaitan alkohol perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
“Keputusan hari ini adalah berdasarkan jurang yang wujud dalam konteks kesihatan, pendapatan isi perumahan, jangka hayat, kadar pemenjaraan antara Orang Asli dan bukan Orang Asli Australia.
“Apa yang akan dilakukan oleh Parlimen ialah mempunyai badan perwakilan yang mampu menyokong dan memberi nasihat kepada parlimen serta kerajaan,” katanya seperti dipetik Reuters.
Keganasan rumah tangga, serangan dan kerosakan harta benda di Alice Springs meningkat antara 43 peratus dan 60 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga November 2022, menurut statistik jenayah terkini daripada kerajaan wilayah.
Terdapat 2,653 serangan sepanjang tempoh di sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 25,000 penduduk.
Pesuruhjaya polis Wilayah Utara Jamie Chalker memberitahu radio ABC bahawa keganasan meningkat sejak undang-undang menyekat pengambilan alkohol berakhir Julai lalu.
Undang-undang itu bermula sejak 2007 apabila kerajaan ketika itu menghantar tentera dan polis ke wilayah terbabit untuk memerangi keganasan dan penderaan seksual yang berleluasa.
Sumber: Reuters