Terkini
Sultan Perak mahu pandangan ekstrem berunsur kaum, agama berbentuk hasutan dihentikan
Pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.
- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.
- Tindakan tegas lagi segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum, titah Sultan Perak.
- Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
IPOH: Pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan tegas lagi segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum.
“Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan, langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama.
“Tindakan segera Polis Diraja Malaysia pasca pilihan raya, mengambil langkah-langkah preventif untuk menjamin ketenteraman awam, merupakan tindakan yang tepat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sultan Nazrin bertitah, negara memiliki elemen yang begitu mudah dieksploitasi untuk mencetuskan anarki, kerukunan perhubungan kaum yang telah diasaskan sejak era pra-merdeka dan terus dipupuk sepanjang era pascamerdeka, tidak boleh diperjudikan kerana permainan politik yang berunsur meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat.
Oleh itu, titah baginda, setiap individu berperanan untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk.
“Warga di negara ini, terutamanya generasi muda perlu diberikan bimbingan dan fahaman mengenai sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan doktrin demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan serta pentingnya warga memahami dan menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara untuk dijadikan pedoman dalam usaha mahu memupuk warga yang bersatu padu, hidup penuh harmoni dalam sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman lagi makmur,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.
Titah baginda, jika perbezaan yang mahu diberikan fokus, maka kita sebenarnya memilih menulis resipi untuk melahirkan warga yang akan berselisih, berkonflik, dan berpecah belah.
“Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, kita sebenarnya telah memilih membina tembok pemisah untuk tidak memungkinkan terbinanya masyarakat yang bersatu, masyarakat yang menerima dan meraikan perbezaan, masyarakat yang menghormati realiti kepelbagaian, dan masyarakat yang melihat kepelbagaian secara positif yang mengandungi kekayaan dan kekuatan.
“Di sebaliknya, jika secara bijak, perbezaan berjaya didandan dan dipintal, akan teranyam hamparan keharmonian yang indah lagi berwarna-warni,” titah baginda.
Baginda bertitah, asas hubungan antara umat Islam dan bukan Islam adalah toleransi, ihsan dan juga perdamaian.
Titah baginda, pergaulan umat Islam bersama bukan Islam bukanlah perkara baharu malah telah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai urusan seperti muamalat, perjanjian dan perdamaian.
“Bahawa tidak ada salahnya mengadakan hubungan baik dengan bukan Islam untuk kebaikan bersama agar warga dapat hidup dalam suasana aman dan damai, malah usaha menyatukan ummah merupakan salah satu tuntutan Ilahi.
“Semangat kerjasama antara kaum yang berlainan agama ini menjadi asas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan pencapaian kemerdekaan pada tahun 1957 yang disusuli pada tahun 1963 dengan pembentukan negara Malaysia.
“Segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetus pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik, hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai,” titah baginda.
Terdahulu, Sultan Nazrin memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Pasukan Gerakan Am Briged Utara Ulu Kinta.
Sumber : Utusan Malaysia