Antarabangsa
Penembak insiden masjid Christchurch failkan rayuan hukuman seumur hidup
Pembunuh 51 penganut Islam di dua masjid Christchurch pada Mac 2019 memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman seumur hidup.

- Brenton Tarrant, yang membunuh 51 jemaah solat Jumaat dalam tembakan rambang di dua masjid Christchurch pada Mac 2019 memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman seumur hidup.
- “Jenayah anda sangat jahat, walaupun anda ditahan sehingga anda mati, itu masih belum cukup untuk menghukum anda,” kata Hakim Cameron Mander.
- “Saya ingin memberitahunya, jadilah seorang lelaki dewasa sejati dan mati secara senyap-senyap dalam penjara kerana itulah yang patut anda terima,” kata mangsa yang terselamat, Temel Atacocugu.
- “Kita tidak sepatutnya memberi dia apa-apa,” kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.
Pembunuh 51 penganut Islam di dua masjid Christchurch pada Mac 2019 memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman seumur hidup.
Tiada tarikh untuk perbicaraan ditetapkan, kata jurucakap Mahkamah Rayuan di Wellington memberitahu beberapa media di New Zealand pada Selasa.
Brenton Tarrant yang berusia 29 tahun ketika itu, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol pada Ogos 2020 kerana membunuh 51 orang dan cubaan membunuh 40 yang lain di dua masjid Christchurch dalam kejadian tembakan rambang terburuk dalam sejarah New Zealand.
Ia adalah kali pertama mahkamah New Zealand menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seseorang.
Hakim Cameron Mander berkata beliau mengenakan hukuman yang paling keras memandangkan besarnya magnitud jenayah itu.
“Jenayah anda sangat jahat, walaupun anda ditahan sehingga anda mati, itu masih belum cukup untuk menghukum anda,” kata Mander pada ketika itu.
Warganegara Australia itu dilaporkan menyerbu masjid-masjid tersebut dengan membawa senapang, lalu menembak secara rambang ke arah jemaah solat Jumaat sambil menyiarkan secara langsung pembunuhan itu di media sosial.
Seorang mangsa yang terselamat, Temel Atacocugu berkata penyerang itu hanya mahukan perhatian.
“Saya ingin memberitahunya, jadilah seorang lelaki dewasa sejati dan mati secara senyap-senyap dalam penjara kerana itulah yang patut anda terima,” katanya yang ditembak sembilan kali dalam serangan itu
“Saya nampak dia ketika dia menembak saya. Jika dia fikir dia tidak sepatutnya berada di penjara selama-lamanya atau mati dalam penjara, dia hanya bermimpi.”
Ditanya mengenai permohonan rayuan lelaki bersenjata itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengulangi janjinya yang dibuat sejurus selepas serangan, iaitu untuk tidak menyebut namanya.
“Ceritanya adalah cerita yang tidak patut diceritakan dan namanya tidak boleh diulang dan saya akan menggunakan peraturan yang sama dalam mengulas mengenai percubaannya untuk mengorbankan semula orang,” kata Ardern.
“Kita tidak sepatutnya memberi dia apa-apa,” katanya.
Sumber: Al Jazeera
