Antarabangsa
Mahkamah Agung India bebaskan tiga perogol dari hukuman mati
Mahkamah Agung India membebaskan tiga lelaki dari hukuman mati kerana merogol dan membunuh seorang gadis Delhi berusia 19 tahun, 10 tahun lalu.

- Tiga lelaki dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan merogol dan membunuh gadis 19 tahun pada 2012, dibebaskan Mahkamah Agung India pada Isnin.
- Tiga hakim membuat keputusan itu atas sebab tiada alasan kukuh membuktikan mereka melakukan perbuatan itu.
- Keputusan itu mengejutkan dan mengecewakan ramai pihak, terutamanya bapa mangsa yang menunggu selama 10 tahun untuk keadilan.
Mahkamah Agung India membebaskan tiga lelaki dari hukuman mati kerana merogol dan membunuh seorang gadis Delhi berusia 19 tahun, 10 tahun lalu.
Keputusan dibuat pada Isnin itu mengejutkan seluruh India, lebih-lebih lagi pembebasan itu dibuat atas sebab tiada alasan kukuh mereka melakukan perbuatan itu.
Tiga hakim mempersoalkan siasatan polis, mengkritik mahkamah sesyen kerana kelewatan dalam perbicaraan dan menyifatkan hakim bertindak seperti pengadil pasif.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan ibu bapa mangsa, aktivis, peguam dan netizen di negara itu di mana puluhan ribu kes rogol dilaporkan setiap tahun.
Bapa mangsa dilaporkan berkata yang harapannya untuk mendapatkan keadilan musnah dalam beberapa minit.
“Kami menunggu selama 10 tahun untuk keadilan. Kami percaya kepada badan kehakiman, kami percaya Mahkamah Agung akan mengesahkan hukuman mati dan pembunuh anak perempuan saya akhirnya akan dihukum gantung,” katanya.
Terdahulu, tiga lelaki dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah perbicaraan pada 2014 dan Mahkamah Tinggi Delhi mengesahkan hukuman itu beberapa bulan kemudian.
Mereka didapati bersalah kerana merogol beramai-ramai dan membunuh seorang gadis berusia 19 tahun di Haryana.
Kejadian itu berlaku pada malam 9 Februari 2012 ketika gadis itu sedang berjalan pulang dari tempat kerja bersama rakan lalu diculik sekumpulan lelaki menaiki kereta merah.
Mangsa ditemui mati empat hari kemudian dengan kesan melecur di sebahagian besar badannya dengan tanda-tanda penyeksaan.
Sumber: BBC
