Antarabangsa
Polis turunkan 55 pembesar suara masjid langgar had bunyi
- Menurut pihak berkuasa Uttar Pradesh, pembesar suara yang dipasang itu melebihi paras bunyi yang dibenarkan seperti yang digariskan dalam garis panduan Mahkamah Agung serta arahan kerajaan mengenai penggunaan peranti penguat bunyi.
- “Operasi ini tidak menyasarkan mana-mana komuniti tertentu, sebaliknya bertujuan menguatkuasakan undang-undang secara menyeluruh di semua institusi keagamaan,” – Pegawai Lingkungan (Bandar), Sidharth Mishra
UTTAR PRADESH – Polis Muzaffarnagar telah menurunkan lebih 55 pembesar suara dari beberapa masjid di seluruh bandar selepas didapati melanggar had bunyi yang ditetapkan oleh Mahkamah Agung India, menurut pegawai pada Rabu lalu.
Tindakan penguatkuasaan besar-besaran itu dijalankan di kawasan bawah pentadbiran balai polis Civil Lines, Kotwali dan Khalapar sebagai sebahagian daripada operasi berterusan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan pencemaran bunyi.
Menurut pihak berkuasa, pembesar suara yang dipasang itu melebihi paras bunyi yang dibenarkan seperti yang digariskan dalam garis panduan Mahkamah Agung serta arahan kerajaan mengenai penggunaan peranti penguat bunyi.
Pegawai Lingkungan (Bandar), Sidharth Mishra, berkata pentadbiran daerah telah mengeluarkan arahan tegas kepada penjaga serta pengurusan semua rumah ibadat termasuk masjid, kuil dan gurdwara agar mematuhi had bunyi yang sah pada setiap masa.
“Operasi ini tidak menyasarkan mana-mana komuniti tertentu, sebaliknya bertujuan menguatkuasakan undang-undang secara menyeluruh di semua institusi keagamaan,” tegasnya.
Operasi yang masih berlangsung itu turut melibatkan pemantauan berkala serta pengesahan tahap bunyi di rumah ibadat dan perhimpunan awam.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran lanjut akan mengakibatkan lebih banyak pembesar suara diturunkan selain tindakan undang-undang.
Mahkamah Agung India melalui beberapa keputusan sejak 2005 telah mengekalkan sekatan terhadap pencemaran bunyi, terutamanya antara jam 10 malam hingga 6 pagi, dan menetapkan paras bunyi maksimum yang dibenarkan di kawasan kediaman serta zon senyap. -The Merdeka Times