Connect with us

Terkini

Akar umbi UMNO berpegang teguh prinsip ‘No Anwar, No DAP’

Akar umbi UMNO berpegang teguh terhadap prinsip ‘No Anwar, No DAP’ kerana ia adalah keputusan majoriti yang tidak boleh dijual beli serta merupakan mandat diberikan kepada pemimpin parti menerusi dua siri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini.

Wartawan TMT

Published

on

Akar umbi UMNO berpegang teguh prinsip ‘No Anwar, No DAP’
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • “Gabungan ini (BN-PH) disebut antara kolisi paling stabil membentuk kerajaan. Namun, ada harga mahal perlu dibayar UMNO. Prinsip ‘No Anwar, No DAP’ adalah keputusan majoriti akar umbi yang tidak boleh di jual beli.
  • “Prinsip ini bukan saja melibatkan perbezaan dasar, malah maruah dan harga diri tiga juta ahli UMNO yang telah memberi mandat kepada pemimpin melalui PAU. Bukan sekali, malah dua kali berturut-turut PAU mengulangi prinsip No Anwar No DAP ini,” – Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar
  • Tidak mustahil ahli UMNO dan akar umbi akan tinggalkan parti jika pemimpin tetap berdegil meneruskan hasrat jadi kerajaan melalui gabungan bersama PH.

 

KUALA TERENGGANU – Akar umbi UMNO berpegang teguh terhadap prinsip ‘No Anwar, No DAP’ kerana ia adalah keputusan majoriti yang tidak boleh dijual beli serta merupakan mandat diberikan kepada pemimpin parti menerusi dua siri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, pendirian itu membawa maksud seluruh ahli dan akar umbi UMNO menolak gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Gabungan ini (BN-PH) disebut antara kolisi paling stabil untuk membentuk kerajaan. Namun, ada harga mahal yang perlu dibayar UMNO. Prinsip ‘No Anwar, No DAP’ adalah keputusan majoriti akar umbi yang tidak boleh di jual beli.

“Prinsip ini bukan saja melibatkan perbezaan dasar, malah maruah dan harga diri tiga juta ahli UMNO yang telah memberi mandat kepada pemimpin melalui PAU. Bukan sekali, malah dua kali berturut-turut PAU mengulangi prinsip No Anwar No DAP ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Mohd Iskandar memberitahu, tidak mustahil ahli UMNO dan akar umbi akan meninggalkan parti jika pemimpin tetap berdegil untuk meneruskan hasrat menjadi kerajaan melalui gabungan bersama PH.

“Selama lebih 60 tahun ahli UMNO diasuh, diajar dan didoktrin bahawa DAP adalah musuh. Manakala pihak yang bersekongkol dengan DAP hanya lah alat untuk mereka mencapai agenda menguasai tanah air Malaysia.

“Doktrin ini sukar dihapuskan dalam diri setiap ahli UMNO. Tidak mudah untuk meyakinkan ahli UMNO untuk mengorbankan prinsip ini hanya dalam tempoh dua hari semata-mata untuk membantu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri,” kata beliau.

Menurut Iskandar, keputusan paling tepat diambil UMNO ketika ini ialah tidak menyertai mana-mana kerajaan termasuk melalui gabungan bersama Perikatan Nasional (PN).

Kata beliau, penolakan terhadap BN oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah hakikat yang jelas, justeru amat memalukan jika BN masih lagi berlagak hebat untuk menjadi sebahagian dari kerajaan.

“Naratif gabungan (PN dan BN) ini sama sahaja jika dinilai dari aspek prinsip dan maruah UMNO dan tiga juta ahlinya. PN yang di ketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas mahu menggantikan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara perlahan-lahan.

“Siapa yang mempertahankan UMNO ketika ramai pemimpinnya lari meninggalkan parti selepas PRU14? Bukan presiden seorang, bukan top 5 UMNO sahaja, tetapi UMNO kekal wujud kerana ada tiga juta ahli yang setia mempertahankan parti.

“Tidak mustahil mereka yang setia ini akan lari meninggalkan parti jika pemimpin memilih untuk membantu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri melalui gabungan ini dan tidak mustahil juga jika keputusan itu diambil, BN terus ‘terkubur’ dari politik Malaysia lima tahun akan datang,” ujar beliau.

 

Sumber : Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending