Connect with us

Terkini

Wanita usah takbur, sekalipun keampunan suami bukan penentu mudah bersalin – Ustazah Isfadiah

Peranan doa seorang suami itu penting kerana tanpa mereka, wanita tidak akan mengandung namun ketika Allah menaikkan darjat seorang wanita dengan mentakdirkan dia mengandung tidak seharusnya mereka bersikap takbur dan sombong kepada suami.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Wanita usah takbur, sekalipun keampunan suami bukan penentu mudah bersalin - Ustazah Isfadiah
Foto: Ustazah Isfadiah.
  • Peranan doa suami penting kerana tanpa mereka, wanita tidak akan mengandung namun ketika Allah menaikkan darjat wanita dengan mentakdirkan dia mengandung tidak seharusnya mereka bersikap takbur dan sombong kepada suami.
  • “Kaum wanita ini, apa-apa pun kita boleh buat jadi masyhur dan berjaya dengan cemerlang tetapi jangan sampai kita tersungkur kerana sikap takbur dan sombong,” – Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
  • Suami yang pemaaf bukan penentu sama ada sukar atau mudah untuk isteri bersalin.
  • Beliau tidak nafi sifat pemaaf suami boleh beri kekuatan dalaman khususnya dari sudut emosi buat isteri yang akan bersalin.

KUALA LUMPUR – Peranan doa seorang suami itu penting kerana tanpa mereka, wanita tidak akan mengandung namun ketika Allah menaikkan darjat seorang wanita dengan mentakdirkan dia mengandung tidak seharusnya mereka bersikap takbur dan sombong kepada suami.

Kata Pengarah Akademik Keluarga Fitrah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki susulan kenyataan kontroversi seorang pengguna Facebook yang mendakwa bahawa isterinya dimudahkan proses bersalin ekoran dia sudah memaafkan segala kesalahan dan dosa pasangannya.

Namun, kenyataan tersebut mendapat kecaman daripada netizen yang menyifatkan suami sebegitu seolah berlagak maksum

Mengulas lanjut, Ustazah Isfadiah menjelaskan ketika Allah SWT mentakdirkan seorang wanita itu membawa benih khalifah di atas muka bumi, ia bermaksud Allah SWT juga sedang mengangkat darjat dan membuka peluang untuk wanita tersebut bertambah dekat dengan-Nya.

Bagaimanapun, katanya kalau kita(wanita) berada dalam keadaan yang tinggi tidak seharusnya kita bersikap takbur dan jangan sombong dengan suami kita. 

“Suami itu anugerah daripada Allah SWT maka kita kena menghormati dia dan memberikan dia  sebagaimana yang dia perlu, iaitu apa hak dia kita berikan.

Kaum wanita ini, apa-apa pun kita boleh buat jadi masyhur dan berjaya dengan cemerlang tetapi jangan sampai kita tersungkur kerana sikap kita yang takbur dan sombong,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times pada Rabu.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa suami yang pemaaf bukan penentu sama ada sukar atau mudah untuk isteri bersalin. 

Justeru, tidak boleh mana-mana individu mengaitkan seorang isteri yang sukar atau mudah bersalin dengan dosa atau kesalahan dibuat iaitu sebagai contoh menyifatkan kesukaran bersalin kerana banyak berbuat dosa.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan bahawa menerusi sifat pemaaf seorang suami boleh memberi kekuatan dalaman khususnya dari sudut emosi buat isteri yang sedang berjuang untuk melahirkan anak.

Tambahnya, “Bersalin merupakan sebuah perjuangan dan jihad bagi wanita. Seandainya kita tidak dapat meneruskan kehidupan iaitu meninggal dunia kerana bersalin ia dikira sebagai mati syahid disisi ALLAH SWT.”

Ia merujuk kepada petikan hadis riwayat Ibn Kathir: (5869) iaitu “Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian karena sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid.” – The Merdeka Times

 

Author