Connect with us

Terkini

Kes mahkamah belum selesai, Anwar tidak layak dicalonkan sebagai PM

Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya menamakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

Wartawan TMT

Published

on

Kes mahkamah belum selesai, Anwar tidak layak dicalonkan sebagai PM
Foto: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
  • Pakatan Harapan (PH) sewajarnya tidak menamakan Datuk Seri Anwar  sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang PRU-15.
  • Ia susulan kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther masih belum selesai.
  • Nama dicalonkan parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama sesuai dihantar ke Istana Negara.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak sewajarnya menamakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata ini kerana kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther terhadap beliau belum selesai.

“Nama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara. Dalam keadaan ini, adalah terpulang kepada PH untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan perdana menteri.

“Mereka perlu menghormati proses pilihan raya negara dengan memastikan semua calon, terutamanya calon Perdana Menteri adalah bersih dan penuh integriti.

“Sehingga Mahkamah Tinggi memberi suatu keputusan dalam kes Yusoff, Anwar tidak layak dinamakan calon Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusof membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 berhubung dakwaan serangan seksual yang dikatakan berlaku pada 2018 di kediaman pemimpin PKR itu.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, apatah lagi pada 19 Oktober lalu, Yusof menang suatu kes saman berkaitan isu ini terhadap setiausaha akhbar Anwar, apabila mahkamah memerintahkan ganti rugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusof.

“Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan bahawa apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri dari sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah terbabit.

“Ini adalah untuk memastikan hanya pemimpin yang bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending