Antarabangsa
Kerana salah mengeja, murid berusia sembilan tahun maut dipukul guru di Mesir
Gara-gara salah mengeja, seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut selepas dipukul guru menggunakan batang kayu di bahagian kepala.
- Basmala Osama Ali Mohamed, 9, dipukul gurunya menggunakan batang kayu di kepala gara-gara salah mengeja.
- Kejadian berlaku di Sekolah Rendah Taranis Al-Arab di daerah Dakahlia.
- Pukulan itu menyebabkan Basmala koma akibat pendarahan otak, sebelum disahkan meninggal dunia.
- Guru terbabit Samir, 50, yang didakwa sering membawa sebatang kayu ditahan selama empat hari sementara menunggu siasatan.
- Dia dan pengetua sekolah itu digantung tugas kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa selepas kejadian itu.
Gara-gara salah mengeja, seorang murid perempuan berusia sembilan tahun maut selepas dipukul guru menggunakan batang kayu di bahagian kepala.
Menurut pihak berkuasa tempatan, guru lelaki itu, Samir, 50, ditahan selepas dipercayai memukul kepala Basmala Osama Ali Mohamed dan mengakibatkan pendarahan otak.
Kejadian berlaku di Sekolah Rendah Taranis Al-Arab di daerah Dakahlia.
Sebelas orang murid lain yang juga saksi kejadian mendakwa Samir sentiasa membawa sebatang kayu bersamanya dan mereka melihat sendiri Basmala dipukul di bahagian kepala selepas melakukan kesalahan ejaan.
Middle East Monitor melaporkan bapa mangsa yang memfailkan aduan di Balai Polis El Sinbillawain selepas mendapat tahu anaknya koma akibat dipukul di kepala oleh gurunya, turut menekankan kegagalan pentadbiran sekolah mengambil langkah undang-undang berhubung kejadian itu.
Susulan insiden itu, guru terbabit ditahan selama empat hari sementara menunggu siasatan dan digantung tugas mengajar selama tiga bulan. Begitu juga dengan pengetua sekolah itu kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa selepas kejadian itu.
Sumber: Middle East Monitor