Connect with us

Terkini

MRM bantu wanita yang dizalimi dalam kes gangguan seksual – Firdaus Wong

Pendakwah, Firdaus Wong memberitahu kepada Mahkamah Majistret di sini bahawa Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi sayap wanita MRM turut membantu wanita yang dizalimi termasuk gangguan seksual daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

Wartawan TMT

Published

on

MRM bantu wanita yang dizalimi dalam kes gangguan seksual - Firdaus Wong
Foto: Pendakwah, Firdaus Wong.
  • Firdaus Wong memberitahu Mahkamah bahawa NGOnya Multiracial Reverted Muslims (MRM) membantu wanita yang dizalimi termasuk gangguan seksual daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.
  • Saksi pertama, Mohd Fairuz mencadangkan kepada mangsa untuk berhubung terus kepada peguam MRM.
  • Firdaus berkata antara kes yang dibantu MRM adalah melibatkan gangguan seksual, cabul oleh majikan, rakan sekerja, ahli keluarga, orang asing yang tidak dikenali atau daripada tokoh yang berpengaruh.
  • “Pengadu yang telah mengadu kepada sahabat saya, Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) bahawa telah menerima mesej-mesej serta gambar-gambar lucah daripada Ebit Lew,” – Firdaus Wong.

TENOM – Pendakwah, Firdaus Wong memberitahu kepada Mahkamah Majistret di sini bahawa Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi sayap wanita MRM turut membantu wanita yang dizalimi termasuk gangguan seksual daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Hai Hung, 39, berkata demikian ketika diminta menjelaskan oleh pihak pendakwaan, Nor Azizah Mohamad mengenai MRM yang diasaskannya ketika sesi perbicaraan yang memasuki hari ketiga membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

MRM sebelum ini disebut oleh saksi pertama bagi kes berkenaan iaitu Mohd Fairuz Abu, 37, bahawa dia mencadangkan kepada wanita itu (mangsa) untuk berhubung terus kepada peguam MRM.

Dalam perbicaraan itu, Firdaus diminta menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kes wanita yang dibantu sayap wanita MRM mengenai gangguan seksual dan beliau memberitahu mahkamah bahawa ia dikendalikan oleh sayap wanita MRM.

“Seperti gangguan seksual secara verbal, gangguan menerusi aplikasi telefon sama ada Telegram, WhatsApp, Facebook selain daripada itu, cabul oleh majikan, rakan sekerja, ahli keluarga, orang asing yang tidak dikenali atau daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat,” katanya.

Firdaus kemudian diminta memberitahu kepada mahkamah berhubung kes gangguan seksual yang dibantu dan siapa yang telah dibantu oleh MRM.

“Antara wanita yang dibantu oleh MRM adalah pengadu yang telah mengadu kepada sahabat saya, Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) bahawa telah menerima mesej-mesej serta gambar-gambar lucah daripada Ebit Lew,” katanya.

Sebelum itu, dalam perbicaraan sebelum itu, Asisten Superintendan Salwani Mohd Hadzir sebagai saksi pendakwaan yang kedua memberitahu kepada mahkamah bahawa dia tidak mengetahui bahawa rampasan telefon bimbit yang dibuat terhadap Mohd Fairuz berkaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh wanita itu.

“Saya tidak tahu mengenai laporan polis yang dibuat oleh pengadu,” katanya.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan pada jam 4.30 petang dan disambung semula pada jam 9.30 pagi Jumaat dengan meneruskan keterangan daripada Firdaus sebagai saksi ketiga dalam kes itu.

Perbicaraan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia, manakala Ebit pula diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye, manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Sumber: Sinar Harian 

 

Author

Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending