Terkini
Hukum ‘Energy duit’ adalah haram – Pendakwah Noor Deros
Hukum ‘Energy Duit’ atau bercakap dengan duit kerana mempercayai bahawa duit mempunyai ‘energy’ tersendiri adalah haram kerana Islam amat menolak kepercayaan serta amalan-amalan khurafat.
- Hukum ‘Energy Duit’ atau mempercayai duit mempunyai ‘energy’ tersendiri adalah haram kerana tindakan itu dipercayai termasuk dalam amalan-amalan khurafat.
- ‘Energi Duit’ hanyalah satu istilah dan konsep cabang kepada teori besar Hukum Tarikan (Law of Attraction) yang berasal daripada aqidah Pantheisme gerakan New Age.
- “Ini adalah dakwaan yang tidak berasas kerana yang menentukan kejadian bukanlah minda dan kehendak kita sahaja tetapi ada kehendak yang lebih besar iaitu kehendak Allah,” – Ustaz Noor Deros.
KUALA LUMPUR – Hukum ‘Energy Duit’ atau bercakap dengan duit kerana mempercayai bahawa duit mempunyai ‘energy’ tersendiri adalah haram kerana Islam amat menolak kepercayaan serta amalan-amalan khurafat.
Demikian kenyataan pendakwah Ustaz Mohammed Noor Mohammed Deros dalam menjawab persoalan mengenai hukum tarikan (Law of Attraction) yang digunakan oleh sesetengah pihak dalam membuat sesuatu perkara.
Menurutnya, ‘Energy Duit’ hanyalah satu istilah dan konsep cabang kepada teori besar Hukum Tarikan (Law of Attraction) yang berasal daripada aqidah Pantheisme gerakan New Age.
Noor berkata hukum tarikan mendakwa bahawa segalanya hanyalah Minda atau Kesedaran (MK) dan MK yang negatif akan menarik kejadian yang negatif dan yang positif pula menarik kejadian yang sama jenis.
“Ini adalah dakwaan yang tidak berasas kerana yang menentukan kejadian bukanlah minda dan kehendak kita sahaja tetapi ada kehendak yang lebih besar iaitu kehendak Allah.
“Memiliki minda yang positif tetapi tidak berusaha gigih dan Allah pula tidak menghendaki apa yang dia kehendaki maka ia tetap tidak akan berlaku dan minda yang negatif tetapi tetap gigih berusaha dan Allah pula kehendaki apa yang dia kehendaki maka perkara itu tetap akan berlaku”.
Beliau berkata ritual-ritual memanggil duit ini sekiranya berhasil boleh dijelaskan secara psikologikal bahawa ia hanyalah satu bentuk mental ‘conditioning’ oleh pelaku ke atas dirinya sendiri untuk berusaha lebih gigih.
“Namun sayangnya conditioning itu berdiri diatas sebuah kepercayaan khurafat iaitu ‘Energy’ yang ada pada duit itu sendiri akhirnya membuahkan ritual ‘tidak bijak’ bercakap dengan benda mati,” tambahnya.
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan seorang wanita berkongsi cara mengajar bercakap dengan duit susulan kepercayaannya bahawa setiap entiti kehidupun mempunyai ‘energy’ termasuk duit. -The Merdeka Times.