Connect with us

Kolumnis

Hikmah sebalik sebatan di khalayak ramai

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Hukuman sebatan di khalayak ramai

Baru-baru ini, seorang pelaku khalwat berulang telah dijatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai yang bakal dilaksanakan pada 27 Disember di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir (hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Quran dan Hadis) itu adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan yang sama.

Pelaksanaan hukuman sebatan takzir di khalayak itu juga bertujuan menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.

Kes ini merupakan individu pertama di Terengganu yang dijatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai.

Namun, hukuman itu telah menimbulkan salah faham segelintir masyarakat, terutama bukan Muslim.

Maka, penulis ingin berkongsi hikmah dalam pelaksanaan sebatan di khalayak berdasarkan penulisan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk, “Bayan Linnas Siri ke- 104 : Sebatan di Khalayak : Mencegah Jenayah, Memulihkan Pesalah.”

Pertama, pelaksanaan hukuman syariah mempunyai prosedur ketat yang perlu diikuti supaya pelaku mendapat hukuman setimpal dan bukan keterlaluan.

Antara syarat yang digariskan dalam Seksyen 125 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) termasuklah,

  • Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.
  • Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.
  • Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh 2 bulan selepas melahirkan atau keguguran.
  • Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan.
  • Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah adil dan matang.
  • Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
  • Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.
  • Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.
  • Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.
  • Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.
  • Jika semasa perlaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

Secara umumnya, pelaksanaan hukuman di khalayak ramai itu bertujuan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak berbuat jenayah yang seumpamanya.

Penulis ingin berkongsi beberapa pendapat ulama mengenai hukuman ini,

  1. Imam al-Qurtubi Rahimahullah: “Sesiapa yang hadir, melihat dan mengambil pelajaran, serta menjauhi perbuatan tersebut di samping menyebarkan apa yang berlaku maka ia akan menjadi pengajaran selepas itu.” Lihat al-Jami` li Ahkam al-Quran (12/111).
  2. Imam Ibn Kathir Rahimahullah: “(Perintah ke atas orang ramai untuk hadir itu adalah) supaya menjadi peringatan dan ibrah (pengajaran) pada orang lain.” Lihat Tafsir al-Quran Al-Azhim, Ibn Kathir (3/254).
  3. Imam Al-Baidhawi Rahimahullah: “Perintah disaksikan perlaksanaan had itu adalah sebagai menambahkan lagi hukuman. Ini kerana, pendedahan atau tersebarnya berita tentang jenayah dan maksiat yang dilakukan itu boleh jadi lebih berat berbanding hukuman yang dikenakan.” Lihat Tafsir al-Baidhawi, ‘Ali Al-Baidhawi (4/98).
  4. Imam Ibn Abi Hatim menukilkan sebuah riwayat daripada seorang tokoh ulama yang bernama Nasr bin ‘Alqamah apabila ditanyakan berkenaan ayat ke-2 dalam surah al-Nur tersebut beliau berkata: “(Perintah) yang demikian itu bukanlah untuk memalukan dalam erti kata mendedahkan maksiat yang mereka lakukan, akan tetapi supaya Allah S.W.T memberikan mereka itu untuk bertaubat dan kasih sayang-Nya.” Lihat Tafsir Ibn Abi Hatim (8/2518).

Kesimpulannya, perlu diketahui hukuman sebatan di khalayak ramai itu bukan bertujuan untuk mengaibkan atau memalukan pesalah.

Namun, ia kaedah hukuman yang dibenarkan dalam Islam bagi tujuan pengajaran kepada pelaku dan masyarakat awam. — The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *