Connect with us

Terkini

(VIDEO) Pengguguran 16 seksyen enakmen jenayah syariah letak tanggungjawab besar penguatkuasaan undang-undang peringkat persekutuan

Pengguguran 16 kesalahan atau seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada penguatkuasaan undang-undang di peringkat persekutuan.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz.
  • Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz berkata ini kerana kesemua kesalahan itu, termasuk liwat kini terletak di bawah Kanun Keseksaan.  
  • Beliau berkata pengguguran itu juga menyaksikan kuasa penyiasatan di Kelantan bagi kesalahan terbabit sepenuhnya berada di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kuasa pendakwaan pula di bawah peguam negara ataupun pendakwa raya, bukan lagi di bawah tanggungjawab pegawai penguatkuasa atau pendakwa raya di Kelantan. 
  • “Walaupun seksyen-seksyen di bawah enakmen syariah itu telah dibatalkan, namun kesalahan-kesalahan itu masih ada dalam undang-undang pada peringkat persekutuan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

KUALA LUMPUR — Pengguguran 16 kesalahan atau seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah (1) Kelantan meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada penguatkuasaan undang-undang di peringkat persekutuan.

Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab. Aziz berkata ini kerana kesemua kesalahan itu, termasuk liwat kini terletak di bawah Kanun Keseksaan. 

Beliau berkata pengguguran itu juga menyaksikan kuasa penyiasatan di Kelantan bagi kesalahan terbabit sepenuhnya berada di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kuasa pendakwaan pula di bawah peguam negara ataupun pendakwa raya, bukan lagi di bawah tanggungjawab pegawai penguatkuasa atau pendakwa raya di Kelantan. 

Ia sekaligus meletakkan tanggungjawab kepada penguatkuasaan undang-undang di peringkat persekutuan dalam menjaga kemoralan atau mengekang jenayah yang tidak baik untuk moral.

“Walaupun seksyen-seksyen di bawah enakmen syariah itu telah dibatalkan, namun kesalahan-kesalahan itu masih ada dalam undang-undang pada peringkat persekutuan. 

“Jadi kalau kita cakap tentang undang-undang peringkat persekutuan siapa yang melaksanakannya? 

“Dari segi penyiasatan ialah PDRM dan dari segi pendakwaan ialah peguam negara, jadi perlu ditunjukkan kepada masyarakat Kelantan itu dalam kes ini sebenarnya undang-undang itu masih wujud,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, termasuk bagi kesalahan liwat, gangguan seksual, menawarkan atau menyediakan khidmat maksiat dan memusnahkan atau mencemar rumah ibadat adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel itu dilaporkan sebagai berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata penguatkuasaan pada peringkat persekutuan atas kesalahan-kesalahan yang dibatalkan itu perlu diperjelaskan kepada masyarakat.

“Sekiranya tidak, akan timbul persoalan, bahkan persepsi ke atas sifat undang-undang Persekutuan. Masyarakat akan berterusan menyatakan terdapat perbezaan antara undang-undang pada peringkat persekutuan dan undang-undang syariah di negeri.

“…PDRM dan peguam negara perlu mengambil langkah sewajarnya dari segi FIR (membuat laporan) dan kertas pertuduhan bagi membawakan prinsip-prinsip perundangan yang diputuskan sebagai berada di bawah Senarai Persekutuan. 

“Sekiranya ini boleh dilakukan, ia akan memberi ubat kepada kebimbangan masyarakat Islam,” katanya. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending