Connect with us

Terkini

Guru ‘stres’ dibebani tugas berlebihan, pulih segera sistem pendidikan negara

Isu beban guru berlebihan sememangnya berlaku dalam sistem pendidikan negara sehingga mengakibatkan ramai guru tertekan dan tidak ada motivasi dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

Puti Iylia Maisarah

Published

on

Guru ‘stres’ dibebani tugas berlebihan, pulih segera sistem pendidikan negara
Foto: Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.
  • Isu beban guru berlebihan sememangnya berlaku dalam sistem pendidikan negara sehingga menyebabkan ramai guru mengalami tekanan. 
  • Kesan jangka pendek beban tugas berlebihan menyebabkan ramai guru memilih untuk bersara lebih awal.
  • Bebanan berlebihan menyebabkan mereka (guru) tidak dapat melaksanakan tanggungjawab mereka secara berkualiti kerana banyak masa digunakan untuk memenuhi arahan yang berkaitan dengan bukan akademik dan pentadbiran. 
  • “Anak-anak kita akan terbiar daripada pembelajaran mereka disebabkan ketiadaan guru di kelas dan fokus guru tiada untuk mengajar.”-Pensyarah.

KUALA LUMPUR – Isu beban guru berlebihan sememangnya berlaku dalam sistem pendidikan negara sehingga mengakibatkan ramai guru tertekan dan tidak ada motivasi dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik.

Demikian kenyataan, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mengenai kesan jangka pendek beban tugas guru berlebihan yang menyebabkan ramai guru memilih untuk  bersara lebih awal.

“Setakat ini kita tidak ada satu pun tindakan yang kita anggap meyakinkan bahawa tugas beban guru akan berkurangan, apa yang kita lihat beban tugas seorang guru semakin meningkat dengan adanya program-program tambahan sekolah. 

“Tugas pengajaran tu berat, kerana guru perlu merancang, persiapan masuk ke kelas dari segi kehadiran pelajar, semak tugas pelajar, dan apatah lagi dengan adanya Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan  Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan pentaksiran dalam bilik darjah.

“Dalam PT3 ia menuntut pelibatan guru lebih banyak di bilik darjah, kita lihat apa yang sedang berlaku sekarang ini bukanlah usaha kurangkan beban guru tapi realitinya beban tugas guru semakin bertambah,” katanya kepada The Merdeka Times. 

Beliau berkata, isu beban guru ini membimbangkan kerana apabila guru-guru berada dalam tekanan, mereka tidak dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pengajaran, dan menyebabkan kerugian besar buat pelajar. 

“Anak-anak kita akan terbiar daripada pembelajaran mereka disebabkan ketiadaan guru di kelas dan fokus guru tiada untuk mengajar.

“Isu beban tugas guru bukan sahaja berlaku di tempat-tempat tertentu tetapi berlaku di seluruh negara, dan kita tidak boleh selesaikan hanya di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Peringkat Negeri, tetapi ia perlu diselesaikan di peringkat pusat, kita kena ada satu kenyataan yang tegas dari yang amat Menteri dan pihak KPM untuk meringankan beban guru.

“Kalau kita lihat ramai guru yang mengajar sekarang mereka tiada pilihan, mereka tidak seronok mengajar kerana tertekan, jadi apa kesan kepada anak-anak kita yang akan mendapat guru yang tidak ada keinginan tinggi untuk mengajar?

“Kerana itu kita kena pulihkan kembali sistem pendidikan negara dengan memberi fokus tugas guru yang sebenar,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Anuar juga turut mengulas berkenaan tugas guru dan peranan jabatan-jabatan berkenaan pendidikan pelajar di sekolah seperti kokurikulum.

“Peranan sekolah dan guru hanya cungkil bakat dalam bidang sukan dan lain-lain, contohnya guru cungkil bakat di peringkat daerah, itu tugas guru tetapi kalau satu tahap sampai ke wakil negeri dan negara itu bukan tugas sekolah itu tugas jabatan sukan daerah, pejabat kesenian negeri, jabatan kebudayaan itu peranan yang mereka harus ambil.

“Tapi kita lihat sekarang ini cikgu yang sama cungkil bakat dan hantar pelajar dan melatih pelajar ke peringkat seterusnya jadi apa yang berlaku ramai guru-guru terlibat aktiviti kesenian dan kokurikulum mereka terpaksa tinggalkan sekolah oleh kerana nak kembangkan dua tiga bakat satu kelas tertinggal pembelajarannya. 

“Ia tidak seharusnya berlaku, sepatutnya tugas guru hanya cungkil bakat namun sekiranya dapat ke peringkat seterusnya, pihak PPD dan pihak lain berkenaan perlu mengambil alih bagi menguruskan,” katanya. 

Pada 5 Januari 2005, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pendidikan telah memaklumkan akan mencari formula bagi mengurangkan beban tugas guru dan pada 2019, Jawatankuasa Mengkaji Dasar Pendidikan yang ditubuhkan oleh Dr. Mazlee Malik juga telah meneliti isu beban tugas guru.

Jawatankuasa ini berjaya menghasilkan sebu­ah laporan komprehensif de­ngan beberapa cadangan pe­nyelesaian berkaitan isu beban tugas guru. Malangnya tidak dapat dilaksanakan apabila ke­pimpinan Kementerian Pen­didikan (KPM) bertukar tangan.

Seterusnya pada 2022, KPM melaksanakan kajian berkaitan beban tugas guru sehingga ramai guru bersara awal. Sehingga kini, hasil kajian ini masih belum dibentangkan.

-The Merdeka Times. 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending