Antarabangsa
Doktor disabit kesalahan penderaan seksual bunuh diri dalam penjara
Seorang pakar neurologi yang disabitkan kesalahan penderaan seksual terhadap pesakitnya pada bulan lalu, membunuh diri di penjara bandar New York pada Isnin lalu.

- Dr Ricardo Cruciani, 68, pakar neurologi yang disabit kesalahan penderaan seksual ditemui mati di tempat mandi di Pusat Eric M Taylor iaitu sebuah penjara di Kompleks Rikers Island.
- Cruciani mati ketika menunggu hukumannya pada bulan depan berikutan kes di New York, di mana dia disabitkan dengan 12 pertuduhan, termasuk serangan seksual pemangsa, rogol dan penderaan seks.
- Didakwa mengambil kesempatan terhadap pesakit dengan memberi ubat penahan sakit berlebihan. Penderaan seksual kerap berlaku secara tertutup iaitu semasa temujanji.
NEW YORK – Seorang pakar neurologi yang disabitkan kesalahan penderaan seksual terhadap pesakitnya pada bulan lalu, membunuh diri di penjara bandar New York pada Isnin lalu.
Dr Ricardo Cruciani, 68, ditemui mati di tempat mandi di Pusat Eric M Taylor iaitu sebuah penjara di Kompleks Rikers Island yang terkenal, demikian menurut sumber yang tidak didedahkan identitinya dipetik ABC News.
Peguam Cruciani, Frederick Sosinsky mengesahkan anak guamnya itu meninggal dunia tetapi tidak mengesahkan mengenai punca kematian.
Menurut pendakwa raya, Cruciani mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan memberi ubat penahan sakit berlebihan, kadangkalanya menyebabkan mangsanya mengalami kecederaan serius.
Menurut enam wanita yang memberi keterangan, penderaan seksual kerap berlaku secara tertutup iaitu ketika temujanji di pusat perubatan Manhattan pada 2013.
Pembicaraan Cruciani dijadualkan Januari tahun hadapan atas tuduhan mendera beberapa orang pesakit dalam tempoh 15 tahun di pejabatnya di Bandar New York, Philadelphia dan Hopewell, New Jersey. Beliau bagaimanapun menafikan melakukan penderaan terhadap wanita.
Cruciani mati ketika menunggu hukumannya pada bulan depan berikutan kes di New York, di mana dia disabitkan dengan 12 pertuduhan, termasuk serangan seksual pemangsa, rogol dan penderaan seks.
Dia dibebaskan daripada dua pertuduhan yang lain, namun tetap berdepan hukuman penjara seumur hidup.
Sumber: ABC News
