Connect with us

Kolumnis

Wujudkah kemiskinan haid di Malaysia?

Tahun lalu seorang anak pemimpin politik menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia dengan mendakwa tuala wanita yang diperlukan untuk menguruskan isu itu tidaklah terlalu mahal.

Editor The Merdeka Times

Published

on

kemiskinan haid
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Anak pemimpin politik menyifatkan kemiskinan haid tidak berlaku di Malaysia.
  • Individu itu turut membidas situasi wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.
  • Pakar sosiologi menepis sindiran wanita tersebut dengan mengatakan negara ini juga berdepan masalah sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka .
  • LPPKN sedang membuat kajian berhubung kemiskinan haid membabitkan 57,000 responden.

KUALA LUMPUR: Tahun lalu seorang anak pemimpin politik menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia dengan mendakwa tuala wanita yang diperlukan untuk menguruskan isu itu tidaklah terlalu mahal.

Individu tersebut turut memberi komen sinis terhadap situasi wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.

“Saya ketawa kerana tajuk berita itu. Apa kena-mengena pad dengan mengandung. Alahai…” sindirnya.

Beliau juga mengatakan situasi ini hanya berlaku di luar negara bukan di Malaysia.

Menepis dakwaan itu,pakar sosiologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sh Fatimah Alzahrah Syed Hussien,berkata negara ini juga berdepan masalah sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka menyebabkan hingga kini tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan oleh permasalahan tersebut.

Bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, kajian berhubung kemiskinan haid sedang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melihat keperluan bantuan tuala wanita.

Katanya, kajian dijangka selesai Oktober ini, membabitkan 57,000 responden.

“Kajian lanjut perlu dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu kemiskinan haid.

“Selain itu, dapatan kajian ini juga membolehkan satu pendekatan yang lebih komprehensif dan bersasar diperkenalkan bagi menangani isu kemiskinan haid,” katanya.

Maklum balas ini membuktikan kemiskinan haid wujud di negara kita.

Soalnya,seteruk mana?

 

Author

Kolumnis

Nahi Mungkar: Seni dakwah yang sering dipandang serong

Amar Makruf, Nahi Mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) merupakan tiang asas dalam dakwah Islam yang perlu bergerak seiring tanpa kompromi. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu (kiri) & Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung (kanan).

Amar Makruf, Nahi Mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) merupakan tiang asas dalam dakwah Islam yang perlu bergerak seiring tanpa kompromi. 

“Kamu adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia menyuruh kepada kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran 3: 110)

Ini bermaksud berdakwah bukan sekadar menyampaikan kebaikan dan kebenaran agama Islam, tetapi juga mencegah kemungkaran serta membongkar ancaman terhadap umat Islam. 

Itu prinsip dakwah Islam yang ditanam bagi menjaga dan melindungi maslahat sejagat. 

Namun, sejak kebelakangan ini ramai sekali menyindir apabila muncul watak Muslim yang tegas menegur kemungkaran, berani mempertahankan Islam atau membongkarkan ancaman terhadap Islam di khalayak awam. 

Ada juga yang menggelar watak terbabit seperti ‘pura-pura alim, pura-pura baik’ yang kononnya tidak menjaga keamanan dan seringkali dicop ‘penimbul kontroversi’ kerana dianggap ‘mengganggu’ sensitiviti awam.

Sindiran mereka seolah-olah menyarankan supaya Muslim kena berdiam diri tatkala Islam diperlekehkan dengan bersikap ‘Tidak apa. Biarkan. Kita doa sahaja’ ataupun bersikap apologetik seperti ‘Lebih baik fokus mengajak kepada kebaikan’. 

Namun, prinsip dakwah Islam tidak sebegitu. Suka mahupun tidak, ‘mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’ perlu dibuat seiring dan seimbang. 

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan manusia yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran 3: 104)  

Tidak sempurna ‘Dakwah’ tanpa Nahi Mungkar

Tindakan Nahi Mungkar seringkali dipandang serong dan negatif dek ‘keupayaannya’ menggugat keharmonian dan mengganggu sensitiviti awam. 

Sedangkan adanya masyarakat yang peka terhadap tanggungjawab nahi mungkar hakikatnya mampu mencegah umat daripada potensi kerosakan dan mengukuhkan agama Islam di atas landasan yang benar.

Seperti sabda Rasulullah SAW yang memberi perumpamaan betapa pentingnya mencegah dan membongkar kemungkaran. 

“Perumpamaan orang yang mengingkari kemungkaran dan orang yang terjerumus dalamnya bagaikan sekumpulan orang yang mencabut undi dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas kapal dan sebahagian lain di bawah. Jika mereka yang berada di bahagian bawah mahu mengambil air, mereka perlu melalui mereka yang berada di bahagian atas. Mereka berkata: “Jika kita membuat lubang pasti itu tidak mengganggu mereka yang berada di atas kita.” Sekiranya mereka yang berada di bahagian atas membiarkan orang-orang di bahagian bawah meneruskan rancangan mereka, pasti kesemua mereka akan mati lemas. Namun, jika mereka yang di bahagian atas melarang orang-orang di bahagian bawah daripada berbuat demikian, nescaya mereka akan selamat dan seluruh penumpang kapal itu juga turut selamat.” (Sahih Bukhari, no 2943) 

Hadis ini menggambarkan masyarakat adalah seperti penumpang dalam sebuah kapal. Dengan adanya pemimpin, adanya peraturan yang perlu ditaati dan adanya bermacam-macam perangai penumpang yang boleh mempengaruhi seluruh kapal, termasuk mereka yang menimbulkan ancaman. 

Seandainya, tindakan individu yang melanggar peraturan dibiarkan dan bertindak sesuka hatinya, akibatnya kecelakaan tidak akan hanya menimpa mereka tetapi seluruh anak kapal akan tenggelam bersama. 

Sama juga dalam konteks masyarakat, jika kita memilih untuk diam dan membiarkan kejahatan demi menjaga hati, masyarakat akan mulai meremehkan perbuatan mungkar.

Akibatnya, kerosakan dan krisis semakin bermaharajalela yang pada akhirnya, merosakkan masyarakat itu sendiri. 

Ingatlah amaran Allah SWT mengutuk tindakan umat terdahulu yang enggan mencegah kemungkaran sehingga berlakunya kerosakan. 

“Mereka (Yahudi) sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan contoh) yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-Maidah 5:79) 

Dakwah perlu diseimbangkan dan diselarikan dengan ajakan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Apabila tidak seimbang, maka cacatlah dakwah itu.

Bukan ‘Dakwah’ tanpa penentangan

Maka apabila ada yang mengatakan jikalau ingin buat ‘amar ma’ruf, nahi mungkar’, buatlah sehingga ia tidak menyinggung perasaan penganut agama lain dan memecah belah masyarakat, itu adalah kenyataan yang tidak berasaskan realiti dakwah. 

Dalil manakah yang menyatakan bahawa dalam berdakwah nahi mungkar, kita harus berusaha agar disukai dan tidak dibenci oleh orang ramai? Dan adakah keberhasilan dakwah ditentukan oleh seberapa banyak orang yang menyukai kita? 

Adalah realiti dalam mencegah kemungkaran pasti berlakunya penentangan, hinaan dan cacian daripada orang ramai, khususnya penganut agama lain. 

Bahkan Rasulullah SAW, sosok yang diangkat sebagai Rahmat bagi seluruh alam dan akhlaknya seperti al-Qur’an, juga dibenci dan dihina ketika berdakwah apatah lagi kita yang bukan setaraf baginda. 

Pada awal pendakwahannya di Kota Mekah, kaum Musyrikin tiada masalah dengan ajakannya untuk mengesakan Allah. Malah mereka membiarkan Muslim bebas untuk beramal.

Namun apabila baginda SAW mulai mencegah mereka daripada berbuat syirik (menduakan Allah dengan sesuatu) dan menyembah berhala, mereka mulai mengancam dan menindas Muslim dengan kekerasan. 

Malah, ada yang menuduh baginda sebagai pembawa perpecahan dan ancaman terhadap perpaduan masyarakat. 

Sentimen kebencian itu tergambar daripada kata-kata utusan kaum Musyrikin, Utbah bin Rabi’ah kepada Rasulullah SAW supaya menghentikan usaha dakwah baginda. 

“Wahai anak saudaraku, kau adalah bahagian dari kami…Namun, kau telah membawa masalah yang sangat besar kepada kaummu. Kau telah memecah-belahkan persatuan mereka, kau mencaci maki tuhan-tuhan mereka dan kau mengkafirkan nenek moyang mereka”.

Ironi, bukan? Kata-kata dan tuduhan yang sama juga kerap dilontarkan kepada segolongan Muslim yang tegas menegur tindakan mungkar di tengah masyarakat kini. 

Walaupun Nabi dituduh sedemikian rupa, baginda tetap meneruskan dakwah ‘amar makruf, nahi mungkar’ kerana baginda faham realiti berdakwah pasti menerima cacian, ejekan dan fitnah daripada orang ramai.

Baginda tidak endah penerimaan orang terhadapnya kerana ingin mendapatkan keredhaan Allah SWT, bukan manusia.  

“Barangsiapa yang mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya kepada manusia.” (Jami’ At-Tirmidzhi, no 2414) – The Merdeka Times 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending