Terkini
PN kemuka lebih 112 Surat Akuan Berkanun sokong Muhyiddin jadi PM
Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan lebih 112 Surat Akuan Berkanun Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) telah mengemukakan lebih 112 Surat Akuan Berkanun Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.
Perkara itu disahkan Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“PN telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Kenyataan itu berkata, jumlah surat akuan berkanun yang dihantar ke Istana Negara adalah melebihi 112.
Jumlah itu adalah angka kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, kata kenyataan itu.
PN memenangi 73 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memerlukan 39 kerusi lagi bagi membentuk kerajaan melalui majoriti mudah.
Setakat ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memilih Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-10. – The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login