Connect with us

Terkini

Muhyiddin bersumpah, nafi guna wang kerajaan selain untuk rakyat

“Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat.”

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Muhyiddin bersumpah, nafi guna wang kerajaan selain untuk rakyat
Foto: Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Tan Sri Muhyiddin Yassin bersumpah tidak pernah membelanjakan wang kerajaan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19.
  • Beliau berkata demikian menafikan dakwaan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari semalam.
  • “Oh, nak bukti kita belanja sewenang-wenangnya, berapa banyak bilion yang saya curi? Saya nak cabar Adly, buktikan, mana satu kes,” kata Muhyiddin Yassin
  • Beliau juga tidak gentar jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan ditetapkan.

MUAR: “Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat.”

Demikian tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa PH akan menyiasat bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu.

Muhyiddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pagoh, berkata setiap wang yang dibelanjakan adalah mengikut peraturan kewangan ditetapkan.

“Oh, nak bukti kita belanja sewenang-wenangnya, berapa banyak bilion yang saya curi? Saya nak cabar Adly, buktikan, mana satu kes. Jangan cakap lepas pilihan raya (nak siasat kalau mereka menang), ini kerana dia bertanding di sana (Melaka), dia nak menang.

“Dia kata PN tak betul, dah rosak, macam dialah, parti dia pun ada kes rasuah, kami tak ada, jadi kalau nak mencemarkan nama baik, dia buat tuduhan yang tak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Muar di Bukit Pasir di sini, hari ini.

Semalam, Adly yang juga calon PH Parlimen Alor Gajah berkata, PH akan menyiasat Muhyiddin sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berhubung perbelanjaan RM500 bilion ketika pandemik melanda negara.

Katanya, peruntukan terbabit amat besar dan meskipun dikatakan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik COVID-19, ia perlu disiasat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatnya kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan ditetapkan.

“Yang penting Adly kalau ada bukti, sila beritahu. Ini biasalah PH beritahu ada macam-macam kes, sama seperti Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR), tapi apabila dicabar, apa buktinya?

“Ini nak ambil kesempatan berkempen sebab mereka tahu kita (PN) sudah nampak (ada) sokongan, (jadi) cari jalan nak memburukkan, menyebarkan fitnah tak berasas,” katanya.

Beliau berkata, jika benar ada bukti membabitkan dirinya, Adly seharusnya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu caranya, bukan dengan serkap jarang, nak timbulkan keraguan, niatnya apa? Niatnya jahat dan saya tak pernah takut sebab saya tahu pengurusan saya sejak berzaman tadbir kerajaan, tak ada satu kes pun,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan wujud pergolakan dalam PN susulan ‘tegurannya’ terhadap Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas Setiausaha Agung PAS itu mendakwa PN akan membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain selepas PRU15, terutama Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata, perkara itu tidak berlaku.

“Tidak ada pergolakan, dalam BN lagi teruk, saya tak nak buat tuduhan, itu apa yang dilaporkan bahawa kenyataan Takiyuddin tak dipetik secara betul dan tepat malah Takiyuddin sendiri sudah betulkan, saya sudah betulkan, Tan Sri Hadi Awang (Presiden PAS) pun dah betulkan.

“Pendirian kita ialah dalam masa hadapi pilihan raya umum, kita bertegas bahawa kita bertanding atas tiket PN, saya tak fikir soal gabungan mana, kalau saya kata PN nak bergabung, orang akan kata apa guna sokong PN sebab dia nak masuk puak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), kluster mahkamah, bodohlah saya,” katanya.

Jelasnya, sebab itu PN mengambil pendirian jelas dan bertanding dalam perjuangan yang sama.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *