Politik
Veteran DAP N. Sembilan pakai ‘topeng tuala wanita’ bantah senator ‘orang luar’
- Memetik laporan Malaysiakini, mereka yang hadir di sidang media semalam mengenakan pelitup muka menyerupai tuala wanita sebagai simbol menyindir ahli jawatankuasa DAP Negeri Sembilan yang membisu berhubung pelantikan Datuk Vincent Wu Him Ven, yang berasal dari Johor.
- “Pelitup muka ini tebal, padat, sangat menyerap, dan kalis bunyi – ia menggambarkan betapa senyapnya mereka,” katanya.
- Hadirin turut melaungkan slogan “tolak orang luar! Siapa dia?” merujuk kepada Wu, yang juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP secara lantikan.
- Lee turut mempertikaikan, dengan adanya 120 cawangan dan puluhan ribu ahli parti di negeri itu, adakah tiada satu pun dalam kalangan mereka yang dianggap layak untuk jawatan senator tersebut.
- Mereka menuntut jawatankuasa DAP negeri menarik balik cadangan pelantikan tersebut dan memberi keutamaan kepada calon anak jati Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR — Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan mengecam jawatankuasa parti negeri yang didakwa “menggadai” kepentingan rakyat Negeri Sembilan apabila mencadangkan pelantikan “orang luar” sebagai senator.
Memetik laporan Malaysiakini, mereka yang hadir di sidang media semalam telah mengenakan pelitup muka menyerupai tuala wanita sebagai simbol menyindir ahli jawatankuasa DAP Negeri Sembilan yang membisu berhubung pelantikan Datuk Vincent Wu Him Ven, yang berasal dari Johor.
Lebih 50 veteran parti serta wakil cawangan DAP Negeri Sembilan dilaporkan hadir bagi membantah tindakan itu.
Pengerusi kelab, Lee Kong Hin turut menunjukkan pelitup muka khas itu yang digunakan sebagai simbol kepada “diam seribu bahasa” jawatankuasa negeri meskipun berdepan kritikan akar umbi.
“Pelitup muka ini tebal, padat, sangat menyerap, dan kalis bunyi – ia menggambarkan betapa senyapnya mereka,” katanya.
Pada majlis itu, hadirin turut melaungkan slogan “tolak orang luar! Siapa dia?” merujuk kepada Wu, yang juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP secara lantikan.
Lee turut mempertikaikan, dengan adanya 120 cawangan dan puluhan ribu ahli parti di negeri itu, adakah tiada satu pun dalam kalangan mereka yang dianggap layak untuk jawatan senator tersebut.
“Adakah kami semua telah mati? Ini satu penghinaan kepada ahli DAP Negeri Sembilan,” katanya yang turut menambah bahawa negeri itu juga tidak kekurangan calon berkelayakan seperti peguam, doktor, usahawan dan profesional lain.
“Kami bukan bodoh,” tegasnya lagi.
Menurut Lee, sejak Jun lalu, beliau dan beberapa cawangan DAP lain telah mengemukakan nama calon tempatan untuk pertimbangan jawatankuasa negeri, antaranya Setiausaha Eksekutif Kelab Veteran, Lim Yau Sin dan bekas Adun Rahang selama dua penggal, Mary Josephine Pritam Singh.
Namun begitu, katanya, tiada sebarang maklum balas atau perbincangan dibuat, sebaliknya beliau hanya mengetahui tentang pelantikan tersebut selepas Wu mula menerima ucapan tahniah di kumpulan WhatsApp.
“Kalau calon yang kami kemukakan tak sesuai, kita boleh bincang. Dengan begitu banyak pilihan, kenapa tetap pilih orang luar?”
Lee turut memberi amaran bahawa jika orang luar terus diberi tempat menggantikan anak tempatan dalam jawatan kerajaan, tidak mustahil jawatan menteri atau timbalan menteri akan turut diserahkan kepada pihak luar.
Senator semasa dari Negeri Sembilan, A Kesavadas Nair akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bulan ini dan tidak layak dilantik semula selepas berkhidmat selama dua penggal.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa jawatankuasa DAP Negeri Sembilan bercadang mencalonkan Wu bagi mengisi kekosongan itu semasa sidang DUN hari ini.
Susulan itu, mereka menuntut jawatankuasa DAP negeri menarik balik cadangan pelantikan tersebut dan memberi keutamaan kepada calon anak jati Negeri Sembilan.
Beliau mengingatkan, jika jawatankuasa negeri terus membisu, mereka tidak menolak untuk membuat protes lebih besar.— The Merdeka Times