Connect with us

Terkini

EKSKLUSIF: Kes Emilia Hanafi – SM Faisal: Fokus kebajikan anak-anak – Persatuan Hak Bapa

Walaupun sudah dipersetujui lokasi perjumpaan di Serene Kiara, Kuala Lumpur, Emilia tidak membawa anak-anaknya ke lokasi itu, sebaliknya menunggu di rumah bapanya di Country Heights, Kajang, Selangor.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Shamirul Nazrin

Published

on

  • Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) bersetuju dengan keputusan mahkamah dalam kes Emilia dan SM Faisal.
  • Ada berlakunya pemungkiran terma-terma yang ditetapkan mahkamah.
  • Setiap keputusan itu harus mendapat persetujuan dari kedua-dua belah pihak.
  • Kes ini boleh dijadikan sebagai teladan bagi mematuhi terma dan perintah mahkamah.
  • Anak sepatutnya mendapat akses kepada kedua ibu bapa.
  • Perubahan perundangan perlu dilakukan di mana kedua-dua pihak diberikan hak jagaan bersama dan hak akses kepada anak-anak secara bersama.

KUALA LUMPUR – Persatuan Hak Bapa Malaysia (FRAM) bersetuju dengan keputusan mahkamah dalam kes Emilia dan SM Faisal kerana berlakunya pemungkiran terma-terma yang ditetapkan mahkamah dalam Penghakiman Persetujuan bertarikh 23 Julai 2018 antara plaintif (SM Faisal) dan defendan, (Emilia) yang direkodkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Presiden FRAM, Malcolm Fernandez berkata, dalam kes Emilia dan SM Faisal, jika ada pertukaran dari segi lokasi berjumpa, tarikh atau waktu, setiap keputusan itu harus mendapat persetujuan dari kedua-dua belah pihak, dan sekiranya proses tersebut tidak mendapat persetujuan, ia akan membawa kepada pemungkiran terma mahkamah.
Katanya, kes ini boleh dijadikan sebagai satu mesej teladan bahawa semua pihak perlu mematuhi terma dan perintah mahkamah.

“Ia telah memburukkan Mahkamah dan perundangan syariah dengan mengingkari terma-terma yang sudah ditetapkan. Kita tidak seharusnya mengambil ringan dengan terma-terma atau perintah yang ditetapkan oleh mahkamah syariah,” katanya kepada The Merdeka Times.

Penghakiman Persetujuan antara SM Faisal dan Emilia menyatakan enam bulan pertama bermula Ogos 2018, hak lawatan (tanpa bermalam) adalah pada setiap Sabtu dan Ahad antara jam 9 pagi hingga 8 malam untuk minggu pertama dan minggu ketiga setiap bulan, sementara bermula Februari 2019, hak lawatan dan bermalam diberikan setiap Jumaat daripada jam 6 petang hingga 6 petang (Ahad) untuk minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Bagaimanapun SM Faisal tidak pernah sekali dibenarkan berjumpa atau membawa keluar anak-anaknya.

Walaupun sudah dipersetujui lokasi perjumpaan di Serene Kiara, Kuala Lumpur, Emilia tidak membawa anak-anaknya ke lokasi itu, sebaliknya menunggu di rumah bapanya di Country Heights, Kajang, Selangor.

Ditanya mengenai FRAM, Malcolm menjelaskan bahawa perjuangan mereka bukanlah berpihak kepada lelaki mahupun wanita tetapi lebih cenderung untuk memperjuangkan hak kebajikan anak-anak.

“Anak sepatutnya mendapat akses kepada kedua ibu bapa. Dengan memberi akses tersebut, anak akan mendapat manfaat dari segi kebajikan dan sosial,” katanya.

Beliau berkata ada beberapa kes keganasan rumah tangga ke atas suami yang didiamkan.

“Ada yang dipukul, didera, diugut dan banyak lagi. Ada kes yang ayah terpaksa berdiam selama empat tahun. Sehingga ada yang bertanya kenapa ayah-ayah ini tidak membawa hal ini kepada pihak berkuasa? Persoalan saya, nak bawa hal ini ke mana? Kementerian pun tak ada kementerian untuk lelaki. Yang sedia ada pun Kementerian untuk wanita, anak dan keluarga,” kata Malcolm.

Malcolm berkata perubahan perundangan perlu dilakukan di mana kedua-dua pihak (bapa atau ibu) diberikan hak jagaan bersama dan hak akses kepada anak-anak secara bersama.

Baca berita susulan – Kes Emilia-SM Faisal: Pengamal undang-undang pelik kenapa ada pihak persoalkan keputusan mahkamah syariah

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *