Connect with us

Kolumnis

Kes dera Emilia Hanafi: Perbicaraan kali pertama bakal berlangsung esok

Esok, perbicaraan pertama kes dera Emilia Hanafi melibatkan tertuduh bekas suaminya Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin akan berlangsung.

Editor The Merdeka Times

Published

on

Kes dera emilia hanafi
  • Esok, perbicaraan pertama kes dera Emilia Hanafi melibatkan tertuduh bekas suaminya Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin akan berlangsung.
  • Undang-undang bertujuan membela hak kedua-dua mangsa dan tertuduh.
  • Institusi kehakiman merupakan pihak yang diberi kuasa untuk mengadili.
  • ‘Adversarial system’ diamalkan beri ruang sama rata kepada kedua-dua pihak dapatkan keadilan selayaknya.
  • Keputusan hakim dibuat berdasarkan keberkesanan hujah dan bukti kukuh kedua-dua pihak terlibat.
  • Prinsip ‘presumption of innocence’ dipegang di mana seseorang tidak dianggap bersalah selagi belum terbukti bersalah.
  • Pada akhir, penulis mengingatkan bukan semua tertuduh akan dijamin bersalah dan bukan semua yang mendakwa diri mereka mangsa sebenarnya dianiaya.

Kira-kira tujuh tahun lalu, kes penderaan terhadap Emilia Hanafi telah dilaporkan kepada pihak polis. Tertuduh dalam kes ini kini merupakan bekas suami kepada mangsa, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin merupakan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, salah sebuah konglomerat Bumiputera milik persendirian terbesar di Malaysia.

Sekitar tahun 2011, rumahtangga mereka telah menghadapi masalah di mana tertuduh dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain, terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan telah melakukan kekerasan kepada mangsa. Dan akhirnya hal ini telah membawa kepada perceraian mereka pada tahun 2016.

Pada 22.11.2015, kemuncak pergaduhan antara mangsa dan tertuduh berlaku di hadapan anak-anak, pembantu rumah dan pengawal keselamatan mereka. Dalam pergaduhan tersebut, tertuduh dilaporkan telah memukul dan menumbuk mangsa dan satu laporan polis, Sri Hartamas No. 1419/2015 telah dibuat oleh mangsa berhubung perkara ini.

Rentetan peristiwa tersebut, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Majistret Kuala Lumpur. Berdasarkan Seksyen 4 dan 5 di dalam Akta Keganasan Rumahtangga 1994, mangsa telah diberikan satu Perintah Perlindungan Sementara (Interim Protection Order (IPO)) dan Perintah Perlindungan (Protection Orders (PO)) dari Majistret bertujuan menghalang tertuduh menggunakan keganasan terhadap mangsa dan anak-anak.

Tanggal 6 Julai 2022 telah ditetapkan sebagai tarikh perbicaraan pertama bagi kes penderaan tersebut.

Kes-kes penderaan rumahtangga bukanlah perkara yang asing di Malaysia. Kita akui bukan mudah untuk mangsa tampil ke hadapan menceritakan trauma yang dihadapinya akibat keganasan rumah tangga.

Sudah banyak kes yang dibicarakan dan hak mangsa dapat dibela dengan undang-undang. Namun, tidak dinafikan wujud kes penderaan rumah tangga yang dilapor hanya bertujuan menjatuhkan reputasi tertuduh. Ini realiti semasa yang perlu kita telan dan terima.

Memang benar, pelaksanaan sistem kehakiman akan sentiasa memerlukan penambahbaikan dari masa ke masa. Namun perlu diingat, institusi kehakiman merupakan pihak yang diberi kuasa untuk mengadili. ‘Adversarial system’ yang diamalkan memberi ruang sama rata kepada kedua-dua pihak tertuduh dan pendakwa untuk mendapatkan keadilan yang selayaknya.

Para hakim bertanggung jawab membuat keputusan berdasarkan keberkesanan hujah dan bukti kukuh pihak-pihak terlibat. Dan mereka perlu sentiasa berpegang dengan konsep ‘presumption of innocence’ di mana seseorang tidak dianggap bersalah selagi mana belum dibuktikan bersalah. Selagi mana proses perbicaraan belum tamat, kita tidak punya hak untuk menghukum tertuduh.

Walau apa pun pengakhirannya, kita berharap keadilan dapat ditegakkan dan kebenaran dapat dibuktikan. Bukan semua tertuduh akan dijamin bersalah dan bukan semua yang mendakwa diri mereka adalah mangsa sebenarnya dianiaya.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Kolumnis

Antara emosi dan rasional

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” (al-Quran 53:43)

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.” (al-Quran 53:43)

Emosi merupakan salah satu fitrah yang telah diciptakan Allah SWT dalam diri manusia.

Ahli psikologi membahagikan emosi manusia kepada enam jenis kategori iaitu gembira, sedih, marah, takut, terkejut dan jijik.

Setiap daripada kita pasti pernah merasai emosi yang pelbagai ini.

Pada masa yang sama, manusia juga dikurniakan dengan akal untuk kita berfikir secara rasional.

Dalam al-Quran, Allah SWT sentiasa menggunakan perkaraan ‘Afala Ta’qilun’ (Tidakkah kamu menggunakan akalmu?) dan perkataan ‘Afala Tatafakkarun’ (Tidakkah kamu berfikir?)

Mencari titik seimbang antara emosi dan akal

Mungkin kita pernah dengar “apabila emosi tinggi, rasional akan jadi rendah”.

Namun prinsip ini bukanlah tepat secara mutlak. Prinsip yang lebih tepat adalah “apabila emosi melampaui batas, rasional akan jadi rendah”.

Sebenarnya, kita memerlukan emosi dalam membuat keputusan yang rasional. Tidak mungkin manusia akan terlepas daripada emosinya walaupun dalam membuat keputusan. 

Ini terbukti dalam satu kajian kes pada 1848, seorang lelaki bernama Phineas Gage telah terlibat dalam kemalangan di tempat kerjanya di mana sebatang besi tercucuk ke rahang bawah kirinya dan keluar melalui bahagian atas tengkoraknya. 

Walaupun Gage masih boleh membaca dan bercakap, dia telah kehilangan keupayaannya untuk merasakan sebarang emosi mahupun meluahkan. 

Rentetan daripada ketidakupayaan Gage untuk meluahkan emosi itu akhirnya menghilangkan juga keupayaannya untuk menaakul atau membuat sebarang keputusan. 

Personaliti beliau berubah dan menjadi alkoholik setelah insiden tersebut. Bukan itu sahaja, beliau mulai membuat pilihan yang tidak rasional berkaitan kehidupannya dan sering berkelakuan tidak menentu, malah bertentangan dengan kepentingan dirinya.

Walaupun kini, kita dimomokkan dengan kehebatan teknologi Kecerdasan Buatan ataupun AI (artificial intelligence) yang dapat membuat keputusan rasional tanpa emosi. 

Tetapi, solusi diberikan AI tidak dapat mencerminkan emosi manusia yang sebenar dan tidak bersifat empatik. 

Foto: ‘Dialog’ bersama AI

Sedangkan elemen emosi adalah salah satu komponen penting ketika kita membuat keputusan. Secara tidak sedar, keputusan rasional yang kita buat adalah juga sebenarnya hasil daripada emosi manusia.

Sebagai contoh, bagaimana kita putuskan untuk menjauhi perbuatan dosa dan maksiat adalah kerana kita mempunyai perasaan takut dengan azab Allah SWT yang jauh lebih menyeksakan dan abadi daripada ‘kenikmatan’ yang sementara.   

Selain itu, keputusan kita untuk berbuat baik kepada ahli keluarga dan orang asing tanpa balasan adalah kerana adanya sifat perikemanusiaan. Inilah fungsi dan hakikat emosi dalam membuat keputusan. 

Emosi memberi kita maklumat tentang sekeliling kita. Apabila berkomunikasi dengan orang lain, emosi dapat ditunjukkan melalui ekspresi muka dan bahasa badannya. Maka, dengan memahami emosi seseorang, kita dapat berkomunikasi dengan lebih baik dan efektif.

Kesimpulan

Walaupun pemikiran rasional melibatkan emosi, kita perlu berhati-hati untuk tidak membiarkan emosi yang mengawal akal kita kerana emosi juga merupakan antara ujian yang Allah SWT berikan kepada manusia.

Apabila emosi kita melampaui akal kita, maka seseorang itu akan melakukan tindakan di luar kawalan. Emosi itu penting tetapi ia perlu dikawal dengan akal.

Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW: 

“Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.” (Sahih al-Bukhari, No. 6114) – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending