Connect with us

Terkini

Caprice disaman, dakwa SM Faisal kejam terhadap Emilia

Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan saman terhadap penyanyi rap Caprice, atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi. 

Wartawan TMT

Published

on

Caprice disaman, dakwa SM Faisal kejam terhadap Emilia
Foto: Dari kiri, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi, Caprice.
  • SM Faisal, plaintif failkan saman di Mahkamah Sesyen pada 15 Ogos dengan menamakan Caprice sebagai defendan.
  • Defendan didakwa memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, di Instagram defendan pada 28 Jun.
  • Hantaran fitnah menunjukkan seolah plaintif seorang lelaki kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya (Emilia Hanafi) selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.
  • Menurut plaintif, fitnah itu menyebabkan emosi beliau tertekan serta dicemuh dalam kalangan masyarakat umum.
  • Satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai telah dihantar memohon defendan menarik balik hantaran itu selain memohon maaf kepada plaintif, namun defendan gagal memenuhinya.
  • Plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos.

KUALA LUMPUR – Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan saman terhadap penyanyi rap Caprice, atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya, yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi. 

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini, menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lepas dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal mendakwa pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

Dakwa plaintif, insiden tersebut diuar-uarkan dan dimanipulasi oleh Emilia atau pihak tertentu dengan berniat jahat (mala fide), melalui media massa atau elektronik secara meluas tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif atau Mahkamah Syariah, berhubung kedudukan sebenar kes membabitkan plaintif dan bekas isterinya di Mahkamah Syariah.

SM Faisal mendakwa sehari selepas itu (28 Jun), defendan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, di Instagram defendan.

“Hantaran memfitnah itu mendapat publisiti meluas kerana defendan mempunyai lebih kurang 1.5 juta pengikut di Instagramnya dan hantaran tersebut dilihat atau disukai kira-kira 14,500 orang,” dakwa plaintif.

SM Faisal mendakwa hantaran fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Menurut plaintif, tindakan defendan itu menyebabkan beliau tertekan dari segi emosi selain dicemuh dalam kalangan masyarakat umum.

Dakwa ahli perniagaan itu, satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai lepas telah dihantar bagi memohon supaya defendan menarik balik hantaran itu selain memohon maaf kepada plaintif, namun defendan gagal memenuhi tuntutan tersebut.

Turut dipohon perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu, selain memohon perintah untuk menghalang defendan atau wakilnya daripada mengganggu dan mengugut plaintif serta ahli keluarganya, sama ada secara lisan atau melalui media sosial.

Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili SM Faisal ketika dihubungi pemberita pada Selasa, mengesahkan pemfailan saman fitnah itu dan memaklumkan 14 Oktober ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Idah Ismail. 

Sumber : Sinar Harian / Bernama

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending