Antarabangsa
Jenayah kebencian, kepala babi dicat hijau diletakkan di hadapan pintu masjid
Polis Queensland menahan seorang wanita berusia 21 tahun berhubung insiden meletakkan kepala dan jantung babi di pintu masuk sebuah masjid di Gold Coast, awal pagi Jumaat lalu.
- Polis Queensland menahan seorang wanita berhubung insiden meletakkan kepala dan jantung babi di hadapan sebuah masjid pada Jumaat lalu.
- Pengerusi Masjid Gold Coast, ‘terkejut’ apabila menemui kepala babi, dicat hijau, dalam beg plastik di pintu masuk kedua masjid itu.
- Beg dan sisa haiwan itu diletakkan pada hari Jumaat lalu iaitu pada hari paling mulia bagi umat Islam dan diletakkan hanya sehari sebelum Hari Terbuka Masjid Negara.
- “Mereka mempunyai haiwan yang paling kotor untuk melakukan kerja yang paling kotor, pada hari yang paling suci, iaitu hari Jumaat,”- Pengerusi Masjid Gold Coast.
Polis Queensland menahan seorang wanita berusia 21 tahun berhubung insiden meletakkan kepala dan jantung babi di pintu masuk sebuah masjid di Gold Coast, awal pagi Jumaat lalu.
SBS News melaporkan wanita dari pinggir bandar Southport itu didakwa dengan sengaja melakukan kerosakan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Southport, Australia, pada 11 November depan.
Pengerusi Masjid Gold Coast, Hussin Goss berkata dia ‘terkejut’ apabila menemui kepala babi, dicat hijau, dalam beg plastik di pintu masuk kedua masjid itu pada kira-kira 10.45 pagi. Hati babi juga diletakkan di dalam beg itu.
Orang Islam percaya babi adalah haiwan najis dan mengelakkan sebarang pengendalian berkenaan haiwan itu, manakala hijau adalah warna simbolik yang dikaitkan dengan kepercayaan agama Islam.
Beg dan sisa haiwan itu diletakkan pada hari Jumaat lalu iaitu pada hari paling mulia bagi umat Islam dan diletakkan hanya sehari sebelum Hari Terbuka Masjid Negara, yang diadakan setiap tahun pada 29 Oktober.
Hari terbuka itu bertujuan menjemput orang bukan Islam ke masjid untuk mengetahui mengenai Islam dengan lebih dekat.
Goss menyifatkan insiden itu sebagai “jenayah kebencian” disasarkan terhadap umat Islam dan memohon pihak berkuasa mengesan individu bertanggungjawab di atas insiden terbabit.
“Mereka sedang menghantar mesej kepada kita, saya anggap ia seperti ‘kami boleh melakukan apa sahaja yang kami mahu dan akan menghancurkan agama kamu.
“Mereka mempunyai haiwan yang paling kotor untuk melakukan kerja yang paling kotor, pada hari yang paling suci, iaitu hari Jumaat,” kata Goss.
Dalam pada itu, Goss berkongsi hantaran video ‘babi’ itu di media sosial bagi menghantar mesej kepada masjid tempatan di seluruh Queensland supaya berhati-hati dengan beg mencurigakan yang diletakkan di luar pintu rumah atau masjid mereka.
“Kami akan tangani isu ini sehingga ke akar umbi, kerana ini adalah jenayah kebencian,” katanya.
Insiden itu berlaku hanya beberapa minggu selepas seorang lelaki didakwa menghantar mel suara ke Masjid Kuraby di Brisbane, mengancam untuk membunuh orang Islam.
Sumber: SBS News