Connect with us

Terkini

Berjaya larikan diri namun terkandas di imigresen, mangsa sindiket rayu dana untuk pulang

Terlepas cengkaman sindiket pemerdagangan manusia, terkandas pula di kaunter imigresen, itu nasib rakyat Malaysia yang berjaya melarikan diri namun sehingga hari ini tidak berjaya kembali ke tanah air.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Berjaya larikan diri namun terkandas di imigresen, mangsa sindiket rayu dana untuk pulang
Foto: Presiden MCCC, Musa Hassan (dua dari kanan).
  • Terlepas cengkaman sindiket pemerdagangan manusia, terkandas pula di kaunter imigresen, itu nasib rakyat Malaysia yang terselamat namun tidak berjaya kembali ke tanah air.
  • Mangsa penipuan pekerjaan dicaj bayaran tinggal lebih masa walhal mereka hanya tinggal “sehelai sepinggang”.
  • “Kerajaan Malaysia (patut) beri bantuan dana kepada mangsa. Situasi ini tak sama dengan orang (dengan sengaja) pergi ‘overstay’, mereka ini jadi mangsa pemerdagangan manusia. Mana ada mangsa ada duit?” – Setiausaha Agung MHO
  • “Yang balik ini semua, mampu bayar kompaun. Keluarga tolong bayarkan. Ada tak balik lagi sebab tak mampu bayar kompaun.” 
  • “Saya sebagai NGO sebelum ini tak pernah minta duit kat sesiapa pun. Kerajaan pun saya tak pernah minta. Tetapi kerana ini kita nak bantu masyarakat teraniaya jadi kita terpaksa buat tabung untuk bantu.” – Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan.
  • Mereka berminat buat sumbangan, boleh hubungi talian hotline MCCC 01129050000.

SEPANG – Terlepas cengkaman sindiket pemerdagangan manusia, terkandas pula di kaunter imigresen, itu nasib rakyat Malaysia yang berjaya melarikan diri namun sehingga hari ini tidak berjaya kembali ke tanah air.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, mangsa penipuan pekerjaan ini akan dicaj bayaran tinggal lebih masa walhal mereka hanya tinggal “sehelai sepinggang”.

Disebabkan itu, MHO dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) bersetuju menubuhkan Tabung Kemanusiaan, Selamatkan Rakyat Malaysia untuk membantu menguruskan logistik mangsa selepas diselamatkan sehinggalah melunaskan kompaun tinggal lebih masa kepada imigresen negara terlibat, dan seterusnya berlepas pulang ke tanah air.

“Ada dua kumpulan mangsa. Pertama, mangsa yang ahli keluarganya mempunyai keupayaan untuk membayar kompaun, membayar duit makan. Alhamdulillah, itu yang kita nampak (mereka) boleh balik sekarang ini.

“Yang balik ini semua, yang mampu bayar kompaun. Keluarga tolong bayarkan. Ada juga yang tak balik lagi sebab tak mampu bayar kompaun,” katanya kepada media ketika menunggu ketibaan empat mangsa pemerdagangan manusia di KLIA, kelmarin.

Mangsa tiada duit makan minum, hotel

​​Hishamuddin dan Presiden MCCC, Musa Hassan kelmarin mengumumkan penubuhan tabung kemanusiaan untuk membantu menguruskan logistik mangsa pemerdagangan manusia sama ada di Laos, Kemboja ataupun Myanmar, yang berjaya melarikan diri sebelum pulang ke negara ini dengan selamat.

Menurut Hishamuddin, rata-rata mangsa yang berjaya diselamatkan sehelai sepinggang dan mereka tiada wang untuk membayar hotel (tempat persembunyian) mahupun makan minum, sebelum selamat tiba di Malaysia.

“Apabila mangsa diselamatkan, mereka akan diletakkan di balai polis tapi tak boleh duduk lama. Mereka boleh duduk satu atau dua hari kemudian mereka perlu dipindahkan dan duduk di hotel. Kebanyakan mangsa ini sehelai sepinggan, mereka tak ada duit.

“Mereka berhadapan dengan masalah tempat tinggal, makanan (tak ada). Setelah mereka selamat, mereka akan dibawa ke pihak imigresen. Maka, ketika itu akan berlaku kiraan berapa lama mereka ‘overstay’. Sama ada mereka masuk secara tidak sah, mereka kena bayar kompaun tertentu,” tegasnya memetik daripada Free Malaysia Today.

Hishamuddin memberitahu pihaknya sebelum ini meminta secara terbuka kepada kerajaan Malaysia untuk menyediakan dana bagi membantu pengurusan logistik mangsa yang berjaya diselamatkan, namun tiada perkembangan memberangsangkan.

“Kerajaan Malaysia (patut) berikan bantuan dana kepada mangsa. Ini situasi yang tak sama dengan orang yang (dengan sengaja) pergi ‘overstay’, ini situasi mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Mana ada mangsa yang ada duit?” tegasnya.

Sementara itu, Musa yang juga bekas ketua polis negara memberitahu atas keperluan mendesak, tabung kemanusiaan itu terpaksa dilancarkan sebagai inisiatif “rakyat menjaga rakyat”.

“Saya sebagai NGO sebelum ini tak pernah minta duit kat sesiapa pun. Kerajaan pun saya tak pernah minta. Tetapi kerana ini kita nak membantu masyarakat yang telah teraniaya jadi kita terpaksa membuat tabung ini untuk membantu.

“Duit ini juga boleh bantu orang di Kedutaan Malaysia di negara tertentu, kerana mereka pun kekurangan kewangan nak buat kerja (menyelamatkan mangsa),” katanya kepada FMT.

Mereka yang berminat membuat sumbangan, boleh menghubungi talian hotline MCCC 01129050000.

Desak kerajaan lebih proaktif

MHO sebelum ini lantang mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lebih proaktif menyelamat dan membebaskan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Laos, Kemboja dan Myanmar.

Mereka juga menghantar memorandum membantah tindakan berdiam diri kerajaan Myanmar berhubung isu berkenaan, namun tidak mendapat respons positif setakat ini.

NGO itu dan MCCCC juga bercadang ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Putrajaya hari ini untuk melaporkan berkaitan sikap Myanmar yang seolah-olah membenarkan negaranya menjadi hab pemerdagangan manusia di rantau Asean.

Sumber: Free Malaysia Today

 

 

Author