Terkini
Orang Laos korek terowong selamatkan rakyat Malaysia mangsa sindiket pekerjaan
Berdepan antara hidup dan mati, dalam sebuah bangunan dikawal sindiket, lapan rakyat Malaysia di Laos berpakat siapa dalam kalangan mereka yang patut melepaskan diri, dengan harapan rayuan mereka yang terselamat akan menggerakkan lagi banyak usaha menyelamat.

- Empat rakyat Malaysia di Laos larikan diri menerusi sebuah terowong yang dikorek penduduk tempatan dengan harapan rayuan mereka terselamat akan menggerakkan lagi banyak usaha menyelamat.
- Ini berikutan dalam dua hari lagi, mereka akan dijual ke Myanmar umpama ternakan.
- Tidak dipastikan bagaimana orang Laos dapat tahu tentang nasib mereka, namun sebuah kereta menanti di luar terowong.
- “Seorang rakyat China dipukul depan mata kami berempat. Kaki patah, tangan patah, kepala koyak. Dia cakap kalau kami cuba lari, nasib kami akan sama macam ini.” – salah seorang mangsa terselamat.
SEPANG: Berdepan antara hidup dan mati, dalam sebuah bangunan dikawal sindiket, lapan rakyat Malaysia di Laos berpakat siapa dalam kalangan mereka yang patut melepaskan diri, dengan harapan rayuan mereka yang terselamat akan menggerakkan lagi banyak usaha menyelamat.
Selesai berbincang, tanpa tahu nasib menanti mereka yang ditinggalkan, empat orang terpilih untuk melarikan diri menerusi sebuah terowong yang dikorek penduduk tempatan.
Keputusan yang sukar harus dan telah dibuat, kerana dalam dua hari lagi, mereka ini akan dijual ke Myanmar umpama ternakan. Khoo (bukan nama sebenar), 34, salah seorang yang terpilih untuk melarikan diri daripada sindiket penipuan tawaran kerja itu.
Dia masih ingat amaran keras daripada sindiket akan nasib mereka yang gagal melepaskan diri daripada kerja menipu duit orang lain itu.
“Seorang rakyat China dipukul depan mata kami berempat. Kaki patah, tangan patah, kepala koyak. Dia cakap kalau kami cuba lari, nasib kami akan sama macam ini.”
Tidak dapat dipastikan bagaimana orang tempatan itu dapat tahu tentang nasib mereka, namun sebuah kereta menanti rakyat kita di luar terowong.
“Dia korek terowong itu, kasi kita masuk, bawa keluar cepat-cepat ke dalam kereta yang menunggu,” ceritanya.
Seorang lagi mangsa terselamat, Danny (bukan nama sebenar), 35, tekad akan lawan sekiranya cubaan gagal. Danny hanya boleh terima dua pengakhiran – peluk anak isterinya di Malaysia atau mati melawan di Laos.
“Tak lari pun tetap mati. Jadi kita lawan sahaja lah. Mati sekali (dengan penyangak). Tidak apa, cuma mati sahaja,” katanya memetik daripada Free Malaysia Today.
Lee (bukan nama sebenar), 28, bukan salah seorang daripada terpilih hari itu. Badannya yang besar menyebabkan dia tidak muat melalui terowong itu.
Beliau enggan menyerah dan merencana cubaan tersendiri apabila dia dimasukkan ke hospital atas alasan sakit. Dengan bantuan penduduk tempatan yang sama, dia berjaya melarikan diri malah hampir dicekau samseng yang mengawalnya.
“Ini satu-satunya peluang saya untuk lari. Kalau tidak dapat lari, saya pasti mati. Saya badan paling besar dalam kumpulan (lapan orang rakyat Malaysia itu). Mereka pun tak percaya saya dapat lari.
“Memang nasib saya bagus,” katanya.
Kepulangan mereka di KLIA pada Selasa disambut keluarga yang menanti selepas lapan bulan mereka diculik sindiket. Tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan Danny dengan sempurna, dengan anaknya dalam dakapan.
“Nampak anak isteri, semua ahli keluarga saya, saya betul-betul gembira. Kalau tiada orang tolong kami, kami mungkin sudah mati di sana.”
Keluarga mereka ketika ditemui amat berterima kasih kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), kerajaan, dan pihak berkuasa Laos yang berusaha membawa anak-anak mereka pulang.
“Saya tidak boleh cakap sekarang, tapi hati saya seronok anak saya sudah balik. Terima kasih!” kata seorang bapa mangsa, Tham, 62.
Sumber: Free Malaysia Today
Terkini
PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.

- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
- Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
- Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India.
KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
“Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya?
“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini.
“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.
Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.
Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini.
Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara.
“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.
“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia.
“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China