Terkini
Pegawai kadet mengaku tidak bersalah didakwa tekap seterika pada junior
- Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika.
- Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Egusra Ali.
- Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu di ALK, UPNM di Kem Sungai Besi di sini.
- The Merdeka Times (TMT) dalam laporan eksklusif pada 30 Oktober lalu dengan memetik sumber mendedahkan kes terbaru seorang pegawai kadet tahun dua di ALK UPNM disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
KUALA LUMPUR — Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika.
Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu di ALK, UPNM di Kem Sungai Besi di sini.
Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berikutan jenis dan keseriusan kesalahan yang didakwa.
“Mangsa mengalami kecederaan lecur tahap kedua (second degree burns) di bahagian kanan dada.
“Selain itu, perbicaraan kes ini bakal membabitkan saksi rakan seasrama, jurulatih dan kes berkepentingan awam akan menjadi panduan kepada pelajar lain iaitu kesalahan membuli, bukan sahaja hukuman tetapi ikat jamin juga tinggi supaya peruntukan undang-undang ini tidak dipandang rendah sebagai peruntukan kesalahan ‘non bailable offence’,” katanya dipetik media tempatan di sini hari ini.
Mohd Sabri turut memohon arahan tambahan supaya tertuduh tidak mendekati saksi-saksi kes.
Amirul Iskandar yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah dengan alasan ibu bapanya adalah pesara kerajaan dan dia sendiri masih belajar.
“Saya berjanji untuk hadir di setiap prosiding perbicaraan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh RM20,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 27 Disember untuk sebutan semula kes.
The Merdeka Times (TMT) dalam laporan eksklusif pada 30 Oktober lalu dengan memetik sumber mendedahkan kes terbaru seorang pegawai kadet tahun dua di ALK UPNM disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
TMT yang turut melihat foto mangsa terus menerbitkan berita itu bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku sepertimana kes pada 2017, negara digemparkan dengan insiden sadis membabitkan seorang pegawai kadet laut UPNM yang menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa dengan kejam apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Liputan TMT itu tular di media sosial dan mendapat perhatian segera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengeluarkan kenyataan media pada hari sama bahawa siasatan sedang dilakukan dan tindakan akan diambil ke atas pelaku, jika terbukti, tanpa sebarang kompromi. — The Merdeka Times