Terkini
Mangsa kes penipuan tinggi, daya ketahanan rendah di Malaysia – Tinjauan
Laporan Kajian Kesedaran Penipuan Nasional 2024 oleh CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia telah menjadi mangsa dengan sejumlah 7,881 insiden dilaporkan oleh responden.
- Laporan Kajian Kesedaran Penipuan Nasional 2024 oleh CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia menjadi mangsa dengan 7,881 insiden dilaporkan responden.
- Tinjauan dilancarkan 6 Februari lalu bersempena Hari Keselamatan Internet, juga mendapati 66 peratus responden pernah berdepan situasi penipuan cuba dilakukan menerusi saluran berbeza dengan paling biasa melalui panggilan telefon.
- “Kami mendapati wujud banyak kesedaran mengenai penipuan dalam kalangan responden – mereka pernah mendengar mengenai penipuan, mereka tahu mereka tidak boleh mengklik pautan yang tidak diketahui dan terdapat bahaya dalam berkongsi data peribadi namun nampaknya seperti ada kelompongan.
- “Jumlah responden yang menjadi mangsa penipuan masih tinggi. Ini menunjukkan bahawa terdapat daya ketahanan yang rendah terhadap penipuan dan laporan berkaitan kegiatan ini. Jadi, kesedaran itu tidak boleh diterjemahkan kepada daya ketahanan. Inilah kelompongan yang perlu kita tangani,” kata Ketua Bahagian Kelestarian CelcomDigi, Philip Ling.
- Tinjauan itu menunjukkan terdapat trend yang menyasarkan golongan dengan tahap berpendidikan dan pendapatan tinggi dan ini mungkin disebabkan mereka adalah pengguna dalam talian yang lebih aktif.
PETALING JAYA β Laporan Kajian Kesedaran Penipuan Nasional 2024 oleh CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia telah menjadi mangsa dengan sejumlah 7,881 insiden dilaporkan oleh responden.
Sekurang-kurangnya 73 peratus atau 10,893 responden dalam kajian itu telah berdepan beberapa bentuk penipuan atau menjadi mangsa.
Tinjauan itu, yang dilancarkan pada 6 Februari lalu bersempena Hari Keselamatan Internet, juga mendapati 66 peratus responden pernah berdepan situasi penipuan cuba dilakukan menerusi saluran berbeza dengan yang paling biasa melalui panggilan telefon.
Ketika membentangkan penemuan itu pada sambutan pertama Hari ESG CelcomDigi 2024 semalam, Ketua Bahagian Kelestarian CelcomDigi Philip Ling berkata tinjauan tersebut menunjukkan bahawa responden mungkin memiliki daya tahan yang rendah terhadap penipuan terutama dari segi menerima pakai tindakan pencegahan dan mitigasi.
“Kami mendapati wujud banyak kesedaran mengenai penipuan dalam kalangan responden – mereka pernah mendengar mengenai penipuan, mereka tahu mereka tidak boleh mengklik pautan yang tidak diketahui dan terdapat bahaya dalam berkongsi data peribadi namun nampaknya seperti ada kelompongan.
“Jumlah responden yang menjadi mangsa penipuan masih tinggi. Ini menunjukkan bahawa terdapat daya ketahanan yang rendah terhadap penipuan dan laporan berkaitan kegiatan ini. Jadi, kesedaran itu tidak boleh diterjemahkan kepada daya ketahanan. Inilah kelompongan yang perlu kita tangani,” katanya.
Tinjauan itu melaporkan bahawa hanya separuh daripada responden menyekat nombor telefon penipu dan kurang daripada satu pertiga melaporkan insiden tersebut kepada keluarga atau rakan. Malah lebih sedikit responden yang melaporkan perkara itu kepada bank atau institusi kewangan.
Philip juga berkata, tinjauan itu menunjukkan bahawa 73 peratus daripada responden adalah golongan muda yang bekerja dalam lingkungan usia 18 hingga 40 tahun dengan pendapatan bawah RM3,000.
“Sebilangan besar berkata pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan. Kami tertanya-tanya sama ada ini boleh menyebabkan mereka berasa terdesak untuk mencari pekerjaan kedua atau cara lain untuk menjana pendapatan tambahan dan perkara itu boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada penipuan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata tinjauan itu menunjukkan terdapat trend yang menyasarkan golongan dengan tahap berpendidikan dan pendapatan tinggi dan ini mungkin disebabkan mereka adalah pengguna dalam talian yang lebih aktif.
Kira-kira 65 peratus responden menyatakan bahawa mereka telah berdepan beberapa bentuk percubaan menipu dan antara mereka didapati bahawa 77 peratus memiliki ijazah sarjana muda, ijazah sarjana atau doktor falsafah berbanding 54 peratus memiliki tahap pendidikan sekolah rendah dan menengah.
Selain itu, didapati bahawa 75 peratus daripada mereka yang berpendapatan lebih RM4,000 berdepan percubaan menipu berbanding 60 peratus yang berpendapatan kurang daripada RM1,000.
Philip berkata percubaan utama adalah taktik penipu yang menyamar sebagai pihak berkuasa seperti pegawai cukai pendapatan, polis atau pegawai dari institusi kewangan.
“Malangnya, rakyat Malaysia amat cepat memberikan maklum balas kepada pihak berkuasa pada tahap tertentu. Kita begitu akur sebagai komuniti tetapi tindakan sedemikian telah meletakkan kita dalam keadaan berisiko ditipu jika tidak berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata laporan itu menyediakan data komprehensif dan pandangan yang boleh diambil tindakan untuk media, agensi penguatkuasaan, kerajaan dan orang awam untuk meningkatkan kewaspadaan serta menyesuaikan inisiatif pendidikan yang boleh menangani kelompongan khusus dalam kesedaran mengenai penipuan dan langkah-langkah perlindungan.
Beliau berkata bidang utama yang dikaji termasuk pengalaman dengan penipuan, pengetahuan mengenai taktik penipuan dan langkah-langkah pencegahan termasuk perlindungan data peribadi serta kesedaran mengenai talian hotline 997 bagi Pusat Respons Scam Kebangsaan.
“Sebagai sebuah syarikat yang berkhidmat untuk lebih 20 juta pelanggan, kami bertanggungjawab untuk melindungi keselamatan dan sekuriti pelanggan kami.
“Menerusi peperangan terhadap penipuan, misi kami adalah jelas iaitu mewujudkan kesedaran, memacu pematuhan kepada standard sekuriti dan keselamatan yang tinggi secara dalaman dan pada masa sama menyokong agensi penguatkuasaan serta memanfaatkan kemajuan teknologi bagi membina perlindungan terhadap jenayah siber,” katanya.
Idham berkata berpandukan laporan itu, CelcomDigi boleh secara strategik menumpukan usaha mereka bagi menangani epidemik ini, memperkukuh kepercayaan dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat untuk rakyat Malaysia.
“Kami percaya tindakan berskala besar ini melalui kerjasama adalah kunci bagi memenangi peperangan ini dan terus menyokong pendekatan keseluruhan masyarakat bagi memerangi penipuan dengan lebih berkesan,” katanya.
Membincangkan topik ini dengan lebih mendalam, sidang kemuncak Hari ESG 2024 syarikat itu menampilkan sesi panel bersama dengan Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ACP, Lai Lee Ching, Pengurus Bank Negara Malaysia BNMLINK, Vijayadurai Singgatore dan Ketua Operasi Malaysiakini Tham Seen Hau.
Sidang kemuncak itu turut menampilkan inisiatif utama ESG yang diperjuang dengan pelbagai gandingan kerjasama termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Akademi Arus, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan rakan kongsi teknologi. β BERNAMA