Terkini
Sindiket pekerjaan Myanmar : Mangsa gempal disuntik, dipaksa telan ubat kurus untuk jadi pelacur
Seorang ibu mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar mendakwa jika badan wanita (mangsa sindiket) bertubuh gempal maka sindiket berkenaan akan menyuntik sejenis ubat dan dipaksa makan ubat kurus sehingga turun berat badan sebelum dijadikan pelacur.

- Ibu mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dakwa jika badan wanita (mangsa sindiket) bertubuh gempal, sindiket akan suntik ubat dan dipaksa makan ubat kurus sehingga turun berat badan sebelum dijadikan pelacur.
- Anaknya, diseksa dengan renjatan elektrik, malah darahnya diambil dan kemungkinan selepas ini organ pula akan dijual.
- MHO gesa kerajaan Myanmar turut berusaha bawa pulang rakyat Malaysia yang dijadikan buruh paksa oleh sindiket dipercayai dilindungi pihak berkuasa di sana.
- Setiausaha Agung MHO, tidak menggalakkan mangsa dibebaskan dengan cara bayar wang tebusan kerana ia akan menggalakkan mereka ‘menculik’ lebih ramai rakyat Malaysia.
KUALA LUMPUR – Seorang ibu mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar mendakwa jika badan wanita (mangsa sindiket) bertubuh gempal maka sindiket berkenaan akan menyuntik sejenis ubat dan dipaksa makan ubat kurus sehingga turun berat badan sebelum dijadikan pelacur.
Wanita berusia 56 itu mendakwa, anaknya sebelum ini diseksa dengan renjatan elektrik, malah darahnya diambil dan kemungkinan selepas ini organ pula akan dijual.
“Sindiket tersebut kini mula ambil darah untuk jual darah, malah dipercayai untuk penjualan organ. Ada juga mangsa yang diseksa sampai mati.
“Malah, anak saya memberitahu seramai 50 orang rakyat Malaysia yang tiba di sana semalam dipercayai mangsa terbaharu,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedutaan Myanmar di sini pada Rabu.
Sementara itu, seorang ibu mangsa lain, 62, mendakwa anak lelakinya berusia 29 tahun diculik di Bangkok pada Julai lalu, sebelum disuntik dengan dadah sehingga pengsan dan diseludup ke Myanmar.
Dakwa wanita itu, anaknya terpedaya dengan tawaran pekerjaan sebagai jurubahasa di Facebook dan pergi ke Bangkok melalui jalan sah.
“Apabila dia sedar sudah berada di KK Park (Myanmar), dipaksa bekerja sebagai scammer untuk tipu orang Asia Tenggara pada siang, manakala malam pula menipu rakyat asing terutama warga China di Amerika Utara.
“Dia (anak) baru-baru ini memaklumkan kemungkinan sindiket rancang untuk berpindah kerana tempat itu (KK Park) kini sudah terdedah dan dikenali,” katanya.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa campur tangan kerajaan Myanmar dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang dijadikan buruh paksa oleh sindiket dipercayai dilindungi pihak berkuasa di sana.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa diperdaya oleh sindiket pekerjaan palsu dengan ditawarkan gaji lumayan dan apabila tiba di Myanmar mereka dipaksa bekerja tidak seperti apa yang ditawarkan pada mulanya.
“Mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’, judi dalam talian dan kegiatan haram lain malah apabila disoal kepada pihak ejen, mangsa akan diugut serta dipukul sindiket,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Hishamuddin turut menerima laporan bahawa sesetengah mangsa dijual daripada ejen ke ejen lain malah ada dijual kepada ejen dari negara lain.
Tambahnya, pihak sindiket turut meminta wang tebusan lingkungan RM50,000 hingga RM100,000 daripada mangsa sebelum mereka dibenarkan pulang ke Malaysia. Bagaimanapun, beliau tidak menggalakkan mangsa dibebaskan dengan cara berkenaan kerana ia akan menggalakkan mereka ‘menculik’ lebih ramai rakyat Malaysia.
Menurut beliau, “Oleh kerana layanan tidak berperikemanusiaan mangsa telah membuat laporan kepada polis Myanmar malangnya tiada tindakan efektif diambil pihak berkuasa tempatan menyebabkan mangsa terus terkandas.
“Kami percaya terdapat penglibatan pihak berkuasa tempatan yang bersekongkol melindungi sindiket terbabit.”
Sehubungan itu, beliau menegaskan kegiatan sindiket terbabit dengan jelas melanggar hak asasi manusia dan boleh dikelaskan sebagai penghambaan moden.
“MHO menggesa kerajaan Myanmar sebagai salah satu ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang meratifikasikan ASEAN Convention Against Trafficking in Persons, Especially Women and Children (ACTIP) untuk segera menyelamatkan rakyat Malaysia yang terkandas,” tegas beliau.
Baru-baru ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, setakat 2 September lalu, seramai 195 warga Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dilaporkan masih berada di luar negara.
Daripada jumlah itu, mangsa paling ramai dilaporkan di Kemboja iaitu 148 orang diikuti Thailand (23 orang), Laos (22 orang) dan Myanmar (dua orang).

You must be logged in to post a comment Login