Terkini
Wujudkan semula LPN, selamatkan pengilang beras Melayu dari pupus
Kerajaan disaran mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi menyelesaikan isu kartel beras.
- Kerajaan disaran mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi menyelesaikan isu kartel beras.
- Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata beliau percaya penubuhan LPN dapat menyelesaikan isu berkaitan padi dan beras, sekali gus mengurangkan kelemahan dan menyelamatkan pengilang beras Melayu dari terus pupus.
- Ia juga dapat menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan dan mengawal beras agar tiada pihak mengambil kesempatan dan mendapat keuntungan besar ketika rakyat dalam keadaan tertekan.
- “Sekarang beras dikawal pihak swasta bukan GLC atau kerajaan. Kalau beras dikawal pihak swasta ia akan monopoli pihak tertentu,” katanya dipetik Free Malaysia Today di sidang media bersama Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), semalam.
- Pengerusi PPBMM, Mohamad Termizi Yop sebelum ini mendakwa monopoli belian padi dalam kalangan pengilang beras ‘gergasi’ ketika ini mengakibatkan pengilang beras bumiputera semakin pupus.
KUALA LUMPUR — Kerajaan disaran mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) bagi menyelesaikan isu kartel beras.
Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata beliau percaya penubuhan LPN dapat menyelesaikan isu berkaitan padi dan beras, sekali gus mengurangkan kelemahan dan menyelamatkan pengilang beras Melayu dari terus pupus.
Beliau berkata ia juga dapat menyelesaikan isu kekurangan beras tempatan dan mengawal beras agar tiada pihak mengambil kesempatan dan mendapat keuntungan besar ketika rakyat dalam keadaan tertekan.
“Kembalikan semula LPN untuk mengurus dan mengawal seliaan bekalan padi dan beras dengan lebih baik.
“Sekarang beras dikawal pihak swasta bukan GLC atau kerajaan. Kalau beras dikawal pihak swasta ia akan monopoli pihak tertentu,” katanya dipetik Free Malaysia Today di sidang media bersama Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), semalam.
Ahmad Yazid berkata skim LPN membantu mewujudkan 300 kilang Melayu, bagaimanapun ia semakin terpinggir selepas agensi itu diswastakan pada 1996, membuka ruang monopoli kartel.
Beliau menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendenda kartel beras seperti penalti RM415.15 juta terhadap lima syarikat makanan ayam.
Pengerusi PPBMM, Mohamad Termizi Yop sebelum ini mendakwa monopoli belian padi dalam kalangan pengilang beras ‘gergasi’ ketika ini mengakibatkan pengilang beras bumiputera semakin pupus.
Termizi dilaporkan berkata kegagalan memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi kilang menyebabkan banyak pengilang beras kecil, terutama dalam kalangan bumiputera gulung tikar.
Katanya, beras bumiputera di seluruh Malaysia kini hanya tinggal 60 pengilang sahaja berbanding dahulu jumlahnya lebih 300 pengilang.
Susulan itu, pihaknya merayu kerajaan memperuntukkan kuota belian padi setiap kilang di seluruh negara kepada had maksimum 20,000 tan metrik sahaja pada setiap musim. — The Merdeka Times