Terkini
Pengilang beras bumiputera semakin pupus, hanya 60 masih bertahan
Monopoli belian padi dalam kalangan pengilang beras ‘gergasi’ ketika ini didakwa mengakibatkan pengilang beras bumiputera semakin pupus.

- Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop berkata kegagalan memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi kilang menyebabkan banyak pengilang beras kecil, terutama dalam kalangan bumiputera gulung tikar.
- “Perkara ini sudah berlaku sejak lima tahun lepas. Dahulu ada lebih 300 pengilang beras bumiputera di seluruh Malaysia tetapi sekarang tinggal 60 pengilang sahaja.
- “Di Kedah daripada 35 pengilang bumiputera sekarang cuma tujuh yang masih aktif,” katanya dipetik Utusan Malaysia dalam sidang akhbar di Alor Setar pada Jumaat lalu.
- Mohamad Termizi berkata, pihaknya merayu kerajaan memperuntukkan kuota belian padi setiap kilang di seluruh negara kepada had maksimum 20,000 tan metrik sahaja pada setiap musim.
- Katanya, perkara itu bagi membolehkan setiap kilang mendapat peluang belian padi yang sama rata, sekali gus membantu pengoperasian pengilang beras bumiputera khususnya.
KUALA LUMPUR — Monopoli belian padi dalam kalangan pengilang beras ‘gergasi’ ketika ini didakwa mengakibatkan pengilang beras bumiputera semakin pupus.
Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop berkata kegagalan memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi kilang menyebabkan banyak pengilang beras kecil, terutama dalam kalangan bumiputera gulung tikar.
“Perkara ini sudah berlaku sejak lima tahun lepas. Dahulu ada lebih 300 pengilang beras bumiputera di seluruh Malaysia tetapi sekarang tinggal 60 pengilang sahaja.
“Di Kedah daripada 35 pengilang bumiputera sekarang cuma tujuh yang masih aktif,” katanya dipetik Utusan Malaysia dalam sidang akhbar di Alor Setar pada Jumaat lalu.
Mohamad Termizi berkata pihaknya merayu kerajaan memperuntukkan kuota belian padi setiap kilang di seluruh negara kepada had maksimum 20,000 tan metrik sahaja pada setiap musim.
Katanya, perkara itu bagi membolehkan setiap kilang mendapat peluang belian padi yang sama rata, sekali gus membantu pengoperasian pengilang beras bumiputera.
“Sekarang tiada kuota ditetapkan, ada pengilang yang terima belian padi antara 40,000, 60,000 dan 70,000 tan metrik. Apabila pengilang gergasi gagal mendapat belian padi yang mencukupi mereka mengupah broker untuk cari padi di tempat lain mengakibatkan berlaku pindahan belian padi.
“Sedangkan di kawasan tersebut ada juga kilang padi kecil yang perlu berniaga jadi bila kita had 20,000 tan metrik semua kilang akan dapat sama rata, jadi kurang tawar menawar (broker),” katanya.
Mohamad Termizi berkata PPBMM yakin penetapan kuota dapat membantu mengatasi pelbagai isu berkaitan bekalan beras negara seperti penyelewengan dan penipuan sehingga berlaku kekurangan makanan ruji itu sebelum ini.
“Kalau tak ada kuota belian ini akan berlaku penipuan beras tempatan dan kita tak mahu ianya terus berlaku. PPBMM sudah lama melaungkan agar perkara ini diberi perhatian. Namun, pendapat kami hanya dibiarkan ibarat ‘bagaikan melukut di tepi gantang’,” katanya.
Pada 7 September lalu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff dilaporkan berkata bilangan pengilang Bumiputera kini hanya tinggal dua berbanding ratusan pengilang sebelum ini.
Mohamad Yusrizal berkata kelompok itu tidak mampu bertahan dalam situasi di mana terpaksa bersaing dengan pengilang besar yang mampu menawarkan harga tinggi kepada pesawah untuk mendapatkan beras tempatan. — The Merdeka Times
