Terkini
CUEPACS dedah jabatan kerajaan tidak bayar PERKESO RM32 juta
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan terdapat sebuah jabatan kerajaan yang belum menjelaskan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tahun 2013 sehingga 2020 dengan jumlah tunggakan caruman lebih RM32 juta.

- CUEPACS mendedahkan sebuah jabatan kerajaan belum menjelaskan caruman kepada PERKESO bagi tahun 2013 hingga 2020 dengan tunggakan caruman lebih RM32 juta.
- Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata tunggakan itu termasuk caruman kakitangan kontrak dan ia menafikan perlindungan yang harus mereka terima.
- “Tunggakan dalam tempoh berkenaan perlu disegerakan pembayaran bagi mengelakkan kakitangan jabatan tersebut terjejas atau berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khasnya di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman seperti yang dikehendaki di bawah Akta 4,” kata Adnan Mat.
- CUEPACS kecewa dengan kegagalan majikan melakukan caruman PERKESO pekerja yang berstatus kontrak dan sementara kerana ia akan menghalang pekerja dilindungi oleh skim PERKESO.
- Antara faedah di bawah Skim Keilatan PERKESO ialah faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen penakat, pencet ilat dan lain-lain lagi.
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan terdapat sebuah jabatan kerajaan yang belum menjelaskan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tahun 2013 sehingga 2020 dengan jumlah tunggakan caruman lebih RM32 juta.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tunggakan itu melibatkan kakitangan kontrak sekali gus menyebabkan tidak mendapat perlindungan sewajarnya sekiranya sesuatu berlaku kepada mereka.
Tunggakan dalam tempoh berkenaan perlu disegerakan pembayaran bagi mengelakkan kakitangan jabatan tersebut terjejas atau berisiko tidak menerima perlindungan keselamatan sosial khasnya di bawah Skim Keilatan kerana tidak memenuhi syarat caruman seperti yang dikehendaki di bawah Akta 4.
“Sebagai majikan, adalah menjadi kewajipan untuk memastikan setiap kakitangan kontrak dan sementara membuat caruman kepada PERKESO bagi membolehkan mereka menikmati perlindungan yang sewajarnya.
“Cuepacs berharap kerajaan tegas dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan dan kebajikan pekerja walaupun berstatus kontrak atau sementara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan melalui PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah meluaskan liputan perlindungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan bertujuan memberi perlindungan yang lebih baik kepada pekerja di sektor awam dan setara dengan pekerja sektor swasta.
“Pelbagai faedah disediakan di bawah antaranya ialah faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen penakat, pencen ilat, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah perubatan, rawatan dialisis dan faedah pemulihan jasmani atau vokasional.
“Selain itu pencarum juga boleh menikmati rawatan yang disediakan oleh Pusat Rehabilitasi PERKESO di bawah Program Return To Work.
“Kami sangat kecewa sekiranya hak sebagai pekerja walaupun berstatus kontrak atau sementara untuk mendapatkan perlindungan tersebut terhalang disebabkan kegagalan majikan masing-masing melakukan caruman kepada PERKESO,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

You must be logged in to post a comment Login